Helikopter dilapor hilang selepas berlepas dari LTSAAS

Ka Siong menunjukkan lokasi helikopter yang hilang pada sidang akhbar di Stesen KTM Ipoh, di sini pada Ahad.
Ka Siong menunjukkan lokasi helikopter yang hilang pada sidang akhbar di Stesen KTM Ipoh, di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sebuah helikopter jenis Eurocopter disahkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang, Selangor pada tengah hari tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) yang menjelaskan helikopter berkenaan sepatutnya mendarat Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada jam 12.37 tengah hari selepas berlepas pada jam 11.37 pagi.

Menurutnya, helikopter yang dimiliki oleh sebuah syarikat dikhuatiri hilang pada jam 12.16 tengah hari oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di sebuah lokasi berhampiran Bidor, Perak.

"Pihak CAAM akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian ini dan operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan di lokasi yang dikenal pasti. Kalau ikutkan radar memang dah grounded.

"Kita lakukan usaha terbaik untuk melakukan kerja-kerja pencarian, yang penting kita dapat kerjasama daripada Polis dan kerah agensi berkaitan membantu mencari helikopter berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stesen KTM Ipoh, di sini pada Ahad.

Menurut Ka Siong, difahamkan setakat ini terdapat seorang juruterbang di dalam helikopter berkenaan bagaimanapun tidak diketahui keadaannya.

Ditanya sama ada terdapat penumpang lain di dalam helikopter berkenaan, Ka Siong menjelaskan sebarang perkembangan akan dimaklumkan oleh CAAM.

Jelasnya, bantuan pihak polis diperlukan bagi mengenal pasti laluan masuk ke kawasan helikopter yang dipercayai hilang itu dan pusat kawalan akan turun membantu dalam usaha mencari kenderaan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tujuan penerbangan tersebut dibuat juga tidak dapat dimaklumkan selagi tiada laporan terkini mengenai kedudukan sebenar helikopter tersebut diketahui.