Kadar kebolehpasaran graduan USIM meningkat

Karnival Kerjaya anjuran USIM dengan kerjasama Perkeso di Dewan Tuanku Canselor USIM. - Foto USIM
Karnival Kerjaya anjuran USIM dengan kerjasama Perkeso di Dewan Tuanku Canselor USIM. - Foto USIM
A
A
A

NILAI - Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meningkat daripada 72.1 peratus pada tahun 2018 kepada 94.6 peratus pada tahun 2021.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr Adnan Mohamed Yusoff berkata, ia merupakan pencapaian terbaik USIM sejak Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2006.

"Kebolehpasaran graduan tidak hanya bergantung pada satu pihak. Kerjasama secara kolektif amat penting bagi memastikan agenda kebolehpasaran graduan ini dilihat secara serius dan sistematik.

"Universiti perlu mempunyai Pelan Perancangan Kebolehpasaran Graduan yang komprehensif agar pembudayaan mengenai kebolehpasaran graduan ini diterapkan secara berterusan oleh semua pihak. Dengan itu, isu pengangguran dalam kalangan graduan universiti tempatan boleh diatasi melalui pendekatan kerjasama secara holistik dengan rakan industri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Karnival Kerjaya anjuran USIM dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Dewan Tuanku Canselor USIM pada Sabtu.

Adnan berkata, lebih daripada RM6 juta diterima oleh USIM daripada pelbagai geran kebolehpasaran graduan yang diwujudkan oleh pihak KPT sejak 2019 dengan penganjuran pelbagai program yang berkaitan sekali gus mendorong kepada peningkatan kebolehpasaran graduan USIM.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, beliau berkata, lebih 3,000 peluang pekerjaan daripada 30 syarikat ditawarkan pada karnival kerjaya yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu.

"Penganjuran karnival ini merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara pihak USIM dan Perkeso setelah kejayaan penganjuran Hari Kerjaya Belia Perkeso-USIM 2021 yang dilaksanakan secara dalam talian rentetan daripada pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga bertepatan dalam memberi peluang kepada rakyat di Negeri Sembilan khususnya untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang ditawarkan.

"Antara syarikat yang turut serta antaranya Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd, Gamuda Land Sdn Bhd, Honda, McDonalds, UCSI Hospital, Lotus’s, BubbleBee Sdn Bhd, DHL eCommerce Malaysia dan lain-lain syarikat terkenal," katanya.