Platform Sains Terbuka Malaysia dilancar

Fadillah melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Malaysia Open Science Platform (MOSP) pada Selasa. - Foto Bernama
Fadillah melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Malaysia Open Science Platform (MOSP) pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) dilancarkan pada Selasa bagi merapatkan jurang antara penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan, serta meningkatkan keupayaan inovasi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucapannya semasa pelancaran berkata, menerusi MOSP, Malaysia akan dapat menyegerakan penyelesaian dan mempercepatkan penyelesaian walaupun dengan sedikit penyelidikan dan pembangunan sumber manusia.

Beliau berkata, MOSP juga boleh memupuk kerjasama pelbagai disiplin dan antarabangsa serta menjimatkan sumber dengan mengurangkan pertindihan dan pembiayaan semula projek penyelidikan yang serupa.

"Saya yakin sains terbuka akan menjadi bahan penting dalam ekosistem penyelidikan dan pembangunan yang akan membuka masa depan baharu bagi landskap penyelidikan di Malaysia,” katanya.

MOSP yang boleh diakses melalui mosp.gov.my adalah platform perkongsian data penyelidikan mentah yang dimulakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Fadillah berkata, MOSP berusaha untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam sains terbuka dan inovasi yang boleh menyumbang secara positif kepada pembangunan keseluruhan dan daya saing negara dalam ekonomi global.

Beliau berkata, pada masa ini melalui MOSP, 10 bidang penyelidikan ditampilkan di platform berkenaan yang merangkumi sains biologi, kimia dan matematik; kejuruteraan fizik dan sains bahan dan veterinar pertanian dan sains makanan.

Antara bidang penyelidikan lain ialah sains komputer, teknologi maklumat dan telekomunikasi; perubatan dan sains kesihatan; persekitaran iklim dan biodiversiti serta tenaga.

Fadillah berkata, adalah wajar wujudnya rasa bimbang mengenai pembukaan dan perkongsian data dengan pihak lain, kerana dikhuatiri penyelidikan seseorang nanti digunakan oleh orang lain.

"Bagi mengatasi perkara ini, penggubalan Garis Panduan Sains Terbuka untuk Penyelidikan Dibiayai Awam bagi memastikan perkongsian data dilakukan dengan selamat adalah penting, bagi menenangkan semua komuniti penyelidik,” katanya.

Fadillah berkata, beliau percaya garis panduan ini juga harus diterima pakai sebagai subset Dasar Perkongsian Data Negara di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital,” tambahnya.

Sementara itu ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu Fadillah berkata, melalui MOSP, komuniti penyelidik, akademik dan pemain industri kini boleh berkongsi dan berkolaborasi bagi mempercepatkan perkembangan inovasi dan kreativiti.

"Ini dapat menyegerakan pengkomersialan apabila industrial players boleh tengok apa yang sesuai dengan kehendak mereka,” katanya. - Bernama