Kastam rampas barang elektrik, telekomunikasi RM4.6 juta

Wan Saadah (tiga dari kiri) menunjukkan antara peralatan elektrik dan elektronik yang dirampas kastam dalam serbuan di sebuah gudang di Petaling Jaya, Selangor pada 26 Ogos lalu.
Wan Saadah (tiga dari kiri) menunjukkan antara peralatan elektrik dan elektronik yang dirampas kastam dalam serbuan di sebuah gudang di Petaling Jaya, Selangor pada 26 Ogos lalu.
A
A
A

SEPANG - Sebuah gudang simpanan barang elektrik dan peralatan telekomunikasi seludup bernilai RM4.6 juta di Petaling Jaya diserbu pada 26 Ogos lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Wan Saadah Mohamed Muhibbuddin berkata, serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Audit Import dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) Zon Tengah (Unit IV Putrajaya), Bahagian Pematuhan.

Menurutnya, serbuan bersama Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Kastam itu menemui pelbagai barangan elektrik, peralatan telekomunikasi dan multimedia antaranya pembersih hampagas, permainan video, pembersih udara pintar, telefon bimbit serta kipas pintar.

Sebahagian daripada peralatan elektrik dan elektronik yang dirampas kastam di sebuah gudang di Petaling Jaya, Selangor pada 26 Ogos lalu.
Sebahagian daripada peralatan elektrik dan elektronik yang dirampas kastam di sebuah gudang di Petaling Jaya, Selangor pada 26 Ogos lalu.

"Siasatan mendapati barangan itu diseludup dari negara luar tanpa kelulusan certificate of approval (COA) daripada Suruhanjaya Tenaga.

"Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM4.6 juta membabitkan 2,755 unit barangan elektrik bernilai RM1.4 juta manakala peralatan telekomunikasi dan multimedia sebanyak 4,702 unit bernilai RM3.2 juta," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Dengkil pada Jumaat.

Antara peralatan elektrik dan elektronik yang dirampas kastam dalam serbuan di sebuah gudang di Petaling Jaya, Selangor pada 26 Ogos lalu.
Antara peralatan elektrik dan elektronik yang dirampas kastam dalam serbuan di sebuah gudang di Petaling Jaya, Selangor pada 26 Ogos lalu.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kastam telah mengenal pasti individu yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengikrar Borang Kastam Import tidak benar dari segi nama pengimport dan butiran dagangan bagi mengelirukan pegawai pentaksir untuk tujuan pelepasan dagangan.

"Pengimport telah mengisytihar kemasukan barang itu sebagai peralatan alat tulis dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Orang awam diminta untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," jelas beliau.