Kesemua penama dalam lejar UKSB sudah dipanggil: SPRM

Tan Sri Azam Baki ketika sidang media pada Majlis 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di PICC pada Khamis. - Foto Bernama
Tan Sri Azam Baki ketika sidang media pada Majlis 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di PICC pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil kesemua penama yang tersenarai dalam lejar Ultra Kirana Sdn Bhd, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang menjangkakan kertas siasatan mengenainya siap dalam masa terdekat.

"Siasatan mengenai UKSB kita telah jalankan dan telah memanggil kesemua penama-penama yang disebutkan dalam lejar itu. Saya jangka dalam tempoh terdekat ini akan disiapkan oleh pegawai penyiasat,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis konvokesyen Malaysian Anti Corruption Commission (MACC) Law Enforcement Accredited Programme 2022 di sini pada Khamis, Azam berkata, kertas siasatan yang siap itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk dikaji dan dibuat keputusan mengenainya.

Pada 18 Jun lepas, SPRM berkata, kertas siasatan dibuka terhadap penama yang dikatakan menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, susulan beberapa aduan yang diterima terhadap individu yang tersenarai dalam satu lejar, seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

Mengenai kertas siasatan membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang tidak berada dengan AGC, Azam berkata, kertas siasatan itu sebenarnya telah dikemukan kepada AGC dan telah dihantar balik ke SPRM untuk tindakan lanjut.

"Kertas siasatan itu masih lagi dengan kami setelah diberi oleh pihak beliau (AGC). Kita akan tunggu arahan lanjut kemudian untuk dibuat keputusan,” katanya.

Mengenai siasatan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS), Azam berkata, siasatan masih berjalan kerana banyak perkara yang perlu disiasat.

Beliau berkata, walaupun ada pihak yang mengetengahkan isu tadbir urus yang diambil daripada laporan forensik audit, namun SPRM perlu menyiasat lebih lanjut mengenai jenayah yang dilakukan dan pegawai penyiasat memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan, kerana perlu memanggil saksi termasuk dari luar negara.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad akan dipanggil untuk siasatan, Azam berkata: "Tiada komen, kerana kami sedang menyiasat. Ada orang mendedahkan mengenai beliau, tetapi kami perlu siasat.”

Pada 22 Ogos lepas, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS itu adalah milik keluarga bekas timbalan menteri pertahanan itu, serta mendakwa siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff. - Bernama