Pegawai Abd Latiff buat laporan polis terhadap Rafizi

Abd Latiff (kiri) dan Rafizi (kanan).
Abd Latiff (kiri) dan Rafizi (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, Sayed Ahmad Mui'izzuddin Al-Sayed Mohamad terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada Selasa.

Sayed Ahmad Mui'izzuddin berkata, laporan itu dibuat berhubung kenyataan Rafizi yang mengaitkan Ahli Parlimen Mersing itu dan wanita bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa sebagai isterinya dalam penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS).

“Saya diarahkan untuk membuat laporan berkenaan fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh Rafizi yang mengandungi pembohongan dengan tujuan untuk merosakkan nama baik Datuk Abd Latiff.

“Sejak 22 Ogos 2022, Rafizi telah menyiarkan empat kenyataan fitnah dan tohmahan dalam hantarannya bertarikh 22, 23, 25 dan 26 Ogos 2022.

“Rafizi juga menyiarkan satu video berupa fitnah dan tohmahan melalui akaun TikToknya pada 25 Ogos lalu bahawa Datuk Abd Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak pertahanan puluhan juta ringgit dengan Kementerian Pertahanan bagi LCS,” katanya dalam laporan yang dinyatakan kepada polis pada Selasa.

Beliau berkata, fitnah tersebut dicipta untuk merosakkan nama baik Abd Latiff bagi tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap beliau.

Ujarnya, semua perbuatan Zainab dikaitkan dengan Abd Latiff sedangkan wanita tersebut bukan isteri beliau dan mereka tiada sebarang hubungan kekeluargaan.

“Setelah kenyataan fitnah tersebut disiarkan, Abd Latiff telah memberikan penjelasan umum bahawa beliau tidak mempunyai isteri atau bekas isteri yang bernama Zainab Mohd Salleh.

Artikel Berkaitan:

“Apa jua perbuatan Zainab tidak mempunyai kaitan dengan beliau. Keluarga Latiff tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan atau pembekalan dengan Kementerian Pertahanan semasa Abd Latiff menjadi Timbalan Menteri Pertahanan.

“Walaupun begitu, Rafizi masih berterusan membuat kenyataan fitnah dan palsu mengaitkan Abd Latiff dengan Zainab.

“Saya memohon polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyiasat dan mendakwa Rafizi dan pihak yang bersubahat dengannya untuk melakukan kesalahan tersebut,” tegas beliau.

Rafizi sebelum ini mencabar Abd Latiff supaya memfailkan saman serta-merta terhadap dirinya jika semua dakwaan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Mersing dan isterinya dalam penyelewengan projek kapal LCS itu tidak benar.