Skandal LCS: SPRM cadang beberapa nama didakwa

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan beberapa kertas siasatan berhubung skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dan akan mencadangkan beberapa nama kepada Pejabat Peguam Negara untuk didakwa.

SPRM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, kertas siasatan berkenaan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"SPRM telah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap individu-individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS.

"Kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan daripada SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu," menurut kenyataan tersebut.

Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek LCS bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan PAC turut mendedahkan BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk projek tersebut, menyebabkan syarikat itu menghadapi 'cost overrun' sebanyak RM1.4005 bilion.

Selain itu, Kementerian Pertahanan dan BNS juga didapati mengabaikan pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir.

Kabinet pada Rabu memutuskan untuk menggesa SPRM menyegerakan siasatan terhadap projek LCS TLDM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat kabinet pada Rabu turut mencadangkan Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan, dengan syarat mendapat pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

Beliau turut memberi jaminan siasatan berhubung isu berkenaan dijalankan dengan telus, bahkan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat.

Menurut Ismail Sabri, sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara diminta membuat pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa mesyuarat kabinet juga membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan jemaah menteri itu tidak akan mengganggu proses mobilisasi di bawah pelan pemulihan LCS yang diputuskan jemaah menteri pada 20 April 2022.