Banjir Iboi: PKAI desak henti projek musang king

Keadaan beberapa buah kampung di Kupang Baling termasuk di Kampung Iboi dipenuhi lumpur akibat dilanda banjir kilat pada Selasa. - Foto Ihsan APM
Keadaan beberapa buah kampung di Kupang Baling termasuk di Kampung Iboi dipenuhi lumpur akibat dilanda banjir kilat pada Selasa. - Foto Ihsan APM
A
A
A

BALING - Pertubuhan Kebajikan Amal Iboi (PKAI) mendesak agar projek tanaman musang king dihenti segera dan kolam takungan di puncak Gunung Inas dimusnahkan.

Berdasarkan satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan PKAI pada Selasa, pertubuhan itu juga mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuh bagi menyiasat punca dan mengesan pihak bersalah ke muka pengadilan.

Menurut kenyataan sama, selepas 62 hari tragedi kepala air dan enam hari lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke kawasan Iboi, bencana banjir kembali berulang pada petang Selasa.

"Rumah-rumah mangsa banjir terdahulu kembali dinaiki air berserta lumpur.

"Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kembali beroperasi, ketakutan penduduk Kampung Iboi dan sepanjang Sungai Kupang yang baru sahaja surut, kembali trauma,"katanya.

Menurut kenyataan itu, segala bantuan dan peralatan yang baharu diterima mangsa, kembali musnah termasuk pagar tanaman musnah, binatang ternakan mati dan perkakasan rumah ditenggelami air.

"Persoalannya, sampai bila kami perlu menanggung seksa dan derita begini?"jelasnya.

PKAI turut mendesak agar pihak berkuasa negeri dan persekutuan mengambil tindakan yang lebih pantas.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tiga kali banjir ini berlaku, masih tiada apa-apa tindakan yang jelas diambil untuk mengurangkan risiko bencana.

"Hidup dan nyawa penduduk menjadi taruhan setiap kali berlakunya banjir," katanya.

Difahamkan, hujan lebat menyebabkan Kampung Iboi dan sekitarnya kembali ditenggelami air.

Banjir kali ketiga itu menyebabkan, jambatan Bailey yang dipasang sementara setelah jambatan asal runtuh dibawa arus selain mengalami kerosakan di bahagian struktur.