Banjir Iboi: 130 mangsa ditempatkan di dua PPS

Keadaan lumpur kesan banjir kilat yang melanda Kampung Iboi, Kupang, Baling pada Selasa.
Keadaan lumpur kesan banjir kilat yang melanda Kampung Iboi, Kupang, Baling pada Selasa.
A
A
A

BALING - Seramai 130 mangsa banjir daripada 37 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 8 pagi, Rabu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, dua PPS dibuka iaitu Dewan Kampung Padang Empang dan Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang bagi menempatkan mangsa.

Menurutnya, seramai 96 mangsa daripada 31 keluarga berada di PPS Dewan Kampung Padang Empang manakala 34 mangsa daripada enam keluarga berada di PPS Dewan Masjid Al-Huda.

"Mangsa diarah berpindah kerana air masuk ke rumah mereka pada paras satu meter dan bimbang mereka terperangkap dengan keadaan cuaca yang gelap," katanya.

Mangsa mula berpindah kira-kira jam 9 malam, Selasa setelah air mulai naik serta dikhuatiri tidak selamat jika hujan berterusan.

Mangsa dipindahkan ke dua buah PPS sejak Selasa.
Mangsa dipindahkan ke dua buah PPS sejak Selasa.

Jelasnya, antara kawasan yang terjejas ialah Taman Bayu Sejahtera, Kampung Sungai Batu, Kampung Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Hangus, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Masjid Iboi, Lata Chelak, Bok Bak dan Tanjung Nering.

Ini kali ketiga kawasan itu dinaiki air bermula kejadian kepala air pada 4 Julai lalu yang mengorbankan tiga nyawa.

Artikel Berkaitan:

Kejadian turut menyebabkan jambatan yang menghubungkan Kampung Iboi dan Masjid Iboi runtuh dibawa arus.

Pada 28 Julai lalu, kawasan sama dilanda banjir kilat menyebabkan mangsa turut diarahkan berpindah.

Pada Selasa (6 September) penduduk berdekatan Kampung Iboi, Kupang dikejutkan dengan kejadian hujan lebat sekali lagi sehingga menyebabkan jambatan Bailey yang dipasang bagi menggantikan jambatan asal, mengalami kerosakan di bahagian struktur akibat arus deras.