Polis buru empat lagi individu kes rusuhan

Ramli (kanan) menunjukkan kenderaan digunakan dalam pergaduhan dua kumpulan di Taman Melor Kampung Kuantan di sini pada Ahad.
Ramli (kanan) menunjukkan kenderaan digunakan dalam pergaduhan dua kumpulan di Taman Melor Kampung Kuantan di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis masih memburu saki baki individu yang terbabit dalam kes rusuhan dua kumpulan di Taman Melor Kampung Kuantan di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, sekurang-kurangnya empat lagi individu masih sedang giat dikesan polis dalam kejadian terbabit.

Menurut beliau, saksi bebas yang melihat kejadian itu diminta tampil memberi maklumat berkaitan kes terbabit.

"Kita giat mengesan tiga atau empat suspek lagi yang terbabit dalam kes rusuhan dua kumpulan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini pada Rabu.

Ramli berkata, pada masa ini seramai enam lelaki berusia 22 hingga 35 tahun sudah ditahan untuk membantu siasatan.

Ujar beliau, keenam-enam suspek yang ditahan didapati mengalami kecederaan semasa pergaduhan tersebut.

Katanya, siasatan polis mendapati kes pergaduhan dua kumpulan itu berpunca daripada perselisihan faham.

"Permohonan telah dibuat selama empat hari bermula 5 hingga 8 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh dan Seksyen 326 kanun sama," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan, polis mengesahkan enam lelaki yang bergaduh di Taman Melor, Kampung Kuantan Bestari Jaya di sini, sudah ditahan pada Ahad bagi membantu siasatan.

Semua suspek berusia 22 hingga 35 tahun ditahan pada jam 6.15 petang dan siasatan awal mendapati pergaduhan itu melibatkan sekumpulan lelaki dipercayai akibat perselisihan faham.

Sebelum ini tular video berdurasi 0.34 saat menunjukkan pergaduhan dua kumpulan yang membuat kecoh di jalan raya berhampiran taman perumahan terbabit.

Menerusi video itu, terdapat beberapa lelaki memegang senjata meluru ke beberapa kenderaan hingga tercetusnya rusuhan.