Hidup memang seperti roda

A
A
A

*SETELAH sekian lama ditunggu-tunggu – dan beberapa kali ditangguhkan – akhirnya perbicaraan Datuk Seri Najib Razak bermula Rabu lalu.

Mantan PM, juga mantan Presiden UMNO itu dibicarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC Internatonal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Tujuh pertuduhan itu adalah sebahagian daripada 42 pertuduhan ke atas beliau, berhubung skandal 1MDB.

Perbicaraan akan bersambung 15 April dan semua orang menjangka kes bersejarah ini akan mengambil masa yang lama. Lagi lama, lagi mendebarkan.

Jika sebelum ini, selama kira-kira sedekad, Najib selesa duduk di kerusi No. 1 sebagai Perdana Menteri, beberapa hari lalu beliau duduk di kerusi dalam kandang tertuduh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Maka benarlah kata bidalan, hidup ini seperti roda...

*KETIKA perbicaraan di mahkamah baru pada peringkat permulaan, Najib yang selalu tenang dan tersenyum itu menerima satu lagi tamparan.

Kali ini bukan daripada pejabat Peguam Negara, tetapi daripada pejabat cukai @ Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Artikel Berkaitan:

Lembaga berkenaan menghantar kepada mantan PM notis taksiran mengenai pendapatan tidak diisytiharkan dari tahun 2011 hingga 2017, berjumlah RM4 bilion.

Cukai yang perlu dijelaskan oleh Najib dianggarkan RM1.5 bilion. Maka apa yang dihadapi oleh beliau memang menepati bidalan, sudah jatuh ditimpa tangga.

Tetapi Najib orang yang tabah, dan ramai percaya ‘Bossku’ itu masih boleh tersenyum dan berselfie.

*SELAIN cukai RM1.5 bilion yang perlu dijelaskan oleh Najib, pasti ramai lagi yang kini gelisah dan tidak lena tidur kerana diganggu mimpi ngeri.

Almaklumlah ada sekian ramai yang selama ini enggan membayar cukai pendapatan, mungkin sebab merasakan mereka kebal dan tidak makan saman.

Tetapi kali ini mereka tidak boleh lari. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan LHDN supaya memburu para pengelak cukai itu.

Arahan PM ialah mana-mana bekas menteri yang sebelum ini gagal melangsaikan cukai pendapatan, mereka perlu dicari walau ke lubang cacing.

Hatta, kata PM lagi, sekiranya ada menteri sekarang yang tidak membayar cukai pendapatan, mereka juga jangan dilepaskan. Pendek kata ramai yang panas punggung!

*PUTRAJAYA mungkin akan menjual lebih banyak aset dan tanah milik kerajaan untuk mengurangkan jumlah hutang yang ditanggung negara.

Bagaimanapun Dr Mahathir menegaskan, aset dan tanah milik kerajaan itu hanya akan dijual kepada rakyat Malaysia dan bukan warga asing.

Tambah beliau, kerajaan akan melaksanakan tindakan yang perlu dan dirasakan betul sama ada untuk menjual tanah atau aset berkenaan.

Maka pihak pembangkang membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan untuk menjual aset dan tanah negara.

Kata Dr Mahathir: “Mereka boleh bantah tapi mereka tiada kuasa, tugas kerajaan adalah untuk melakukan apa yang kerajaan rasa betul.”

Kata PM lagi, waktu mereka memerintah dulu mereka tidak membantah jual tanah kepada orang asing, sekarang baru mereka ingat.

*KAPAL persiaran mewah Equanimity telah dilelong pada harga US$126 juta (RM514 juta). Pembelinya bukan orang luar, tetapi syarikat tempatan, Kumpulan Genting.

Kapal milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho itu dikatakan dibeli menggunakan wang yang disonglap daripada 1MDB.

Sejak tiba di Malaysia Ogos lalu kapal tersebut tersadai di pantai Langkawi untuk tontonan kepada para laksawan yang berminat.

Dalam keadaan tersadai pun kapal mewah tersebut memerlukan kos RM2 juta sebulan untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Maka daripada membazir RM2 juta setiap bulan, lebih baik jual sahaja. Lagi pun tak mungkin pemilik asalnya hendak balik ke sini untuk menuntut kapal mewah itu.

*THE Loaf, kedai roti premium yang pernah dimiliki oleh Dr Mahathir dan ditutup sebelum ini telah dibuka semula pemilik baharunya, syarikat pembinaan Ekovest Bhd.

Pengerusi Eksekutif Ekovest Lim Kang Hoo berkata keputusan untuk menghidupkan semula jenama tersebut dilakukan melalui syarikat milik penuhnya, Duke Dining Sdn Bhd, dengan membeli kesemua kepentingan The Loaf.

The Loaf dengan 12 cawangan di seluruh negara, ditutup serta-merta April tahun lalu setelah beroperasi selama 12 tahun. Sekarang ia dibuka semula.

Demikianlah sekali air bah sekali pantai berubah...

TOK PERAK