Kerajaan caretaker Pulau Pinang bermula Rabu

Choo Kiang, Kon Yeow
Choo Kiang, Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang dan semua Exco Kerajaan Negeri akan terus berkhidmat sebagai kerajaan caretaker bermula Rabu selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, Datuk Law Choo Kiang berkata, kerajaan caretaker akan terus berkhidmat sehingga kerajaan negeri yang baharu dibentuk selaras dengan Perkara 7(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, Proklamasi Perisytiharan Pembubaran DUN Yang Ke-14 berkuatkuasa pada 28 Jun lalu yang ditandatangani Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak selaras dengan Fasal (2) Perkara 19, Perlembagaan Negeri Pulau Pinang telah diterima.

"Keanggotaan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan elaun serta keistimewaan yang diterima ADUN seperti diperuntukkan di bawah Enakmen Anggota Pentadbiran dan ADUN (saraan) 1980 akan terhenti bermula 28 Jun ini.

"Sementara itu, Yang di-Pertua DUN Pulau Pinang akan terus berkhidmat sehingga pelantikan baru oleh Dewan dibuat," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena pembubaran DUN Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar pada Selasa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, pada pagi Selasa mendapat persetujuan TYT untuk menandatangani proklamasi bagi membubar DUN pada 28 Jun untuk membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, barisan Exco Kerajaan Negeri termasuk dirinya akan menyerahkan kereta rasmi kepada pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang sehari sebelum penamaan calon pada PRN kelak.

Kon Yeow berkata, ini kerana, kerajaan caretaker akan terus berkhidmat selepas pembubaran DUN pada Rabu.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ada terima taklimat daripada Bahagian DUN mengenai peranan kerajaan caretaker setelah pembubaran pada esok. Esok sudah mula satu tanggungjawab baru antaranya melibatkan penggunaan kereta rasmi. Kita masih jalankan tugas sebagai kerajaan caretaker (merujuk kepada Exco sahaja) yang akan terus bertugas.

"Mereka boleh hadir ke pejabat, teruskan kerja-kerja pentadbiran yang biasa sehingga kerajaan baru ditubuhkan termasuk penggunaan kereta rasmi. Mereka masih boleh menggunakan kenderaan rasmi untuk tugasan dan peribadi.

"Bagaimanapun, kita putuskan bahawa sehari sebelum penamaan calon, kita akan serahkan kenderaan rasmi kepada kerajaan Pulau Pinang," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berpendapat bahawa minggu pertama dan kedua Ogos adalah tempoh paling sesuai untuk mengadakan PRN di enam negeri.

"Tempoh untuk mengadakan PRN perlu diadakan sebelum 60 hari daripada pembubaran DUN, ini kerana, ada negeri telah membubar DUN mereka sejak 22 Jun.

"Jika mahu diselaraskan PRN tempohnya tidak boleh lebih dari 21 Ogos, jadi jangka masa minggu pertama dan kedua adalah sesuai untuk mengadakan PRN," katanya.

Mengulas mengenai saranan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menggesa kerajaan negeri yang bakal atau sudah membubarkan DUN berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak menjadualkan mesyuarat Exco lagi selepas DUN dibubarkan.

"Sebarang projek dan polisi yang diputuskan atau diluluskan melalui kertas Exco masih boleh diumumkan dalam tempoh kerajaan caretaker kerana keputusan telah dibuat sebelum ini oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.