Pas tolak calon lompat parti

Khairil Nizam (tengah) dalam wacana Sinar Harian pada Selasa.
Khairil Nizam (tengah) dalam wacana Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menegaskan calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu mempunyai rekod yang baik dan bebas daripada kes melompat parti.

Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, ia akan menjadi faktor utama perbincangan dalam Perikatan Nasional (PN) mahupun sekiranya ada kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) nanti.

"Itu (mengelakkan senarai calon yang pernah lompat parti) akan menjadi antara faktor utama dalam kita meletakkan calon dalam PRU15. Calon itu perlu dilihat marketable, berpengalaman dan pastinya mempunyai rekod yang baik.

"Perbincangan di peringkat Pas memang tak ada masalah sebab kita tak ada masalah sangat dengan perkara ini.

"Cuma apabila kita nak bawa perkara ini dalam Bersatu atau rakan dalam UMNO, perbincangan itu perlu diletakkan garis panduan memilih calon terbaik. Pas berharap tiada kompromi dalam perkara ini," katanya dalam Wacana Sinar Harian siri ke-364 bertajuk PRU15: Pakai Logo Apa pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub dan Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan perbincangan sedang dijalankan untuk menentukan logo yang akan digunakan pada PRU15 akan datang.

Menurutnya, Pas tidak menolak kemungkinan akan menggunakan logo PN di beberapa kawasan dan logo Pas pula di kawasan tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Prosesnya ia tidak boleh dibuat keputusan secara pendapat dan pandangan. Ia mesti bergantung kepada analisis dan kajian yang dibuat. Kita telah buat kajian di peringkat bandar, semi bandar dan luar bandar.

"Kalau di kerusi luar bandar, iaitu ultra Melayu, rata-rata mereka masih tidak didedahkan dengan lambang PN, jadi semua ini perlu kajian mendalam. Kita juga tengok tempat yang mungkin mengekalkan lambang Pas sahaja. Strategi kita bersifat nasional dan bukan pendekatan bersifat lokal.

"Sama juga dengan BN, jika berlaku kerjasama anjal dengan BN, maka begitu juga keadaannya. Asasnya kita nak satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya.