Pembentangan RUU anti lompat parti di DUN Pahang ditangguh

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

LIPIS - Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti tidak akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 8 Mei ini kerana pembangkang meminta penangguhan sementara waktu untuk ia dibentangkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah diarahkan untuk berbincang dengan pembangkang dan pembangkang meminta penangguhan sementara waktu.

Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju dengan permintaan pembangkang yang meminta lebih masa untuk meneliti rang undang-undang tersebut.

"Pembangkang memaklumkan mereka memerlukan lebih masa untuk meneliti rang undang-undang itu.

"Mereka mungkin akan memberi cadangan dan di pihak kami jika cadangan itu baik maka kami tiada masalah mungkin mempertimbangkan untuk membuat perubahan yang perlu.

"Ia akan dibentangkan sebaik sahaja pihak pembangkang memberikan cadangan mereka dan setelah kerajaan negeri meneliti cadangan itu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada sempena Rumah Terbuka Hari Raya Badan Perhubungan UMNO Pahang di Laman Sejahtera, Sungai Koyan di Lipis pada Isnin.

Hadir sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini pada 12 April, Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, RUU anti lompat parti dijangka dibentangkan di DUN Pahang pada 8 Mei nanti.

Ujar beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijangka memberikan sokongan mereka dengan majoriti dua pertiga berdasarkan persetujuan semua ADUN Pahang selepas taklimat Perlembagaan (Pindaan) No.3 Akta 2022 (Akta A1663) (Anti-Lompat Parti) daripada Pejabat Penasihat Undang-undang.

Pahang adalah antara negeri yang masih belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober 2022.