Bantuan RM800 selama setahun kepada pengutip buah sawit lumpuh

Asmadi (kiri) melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Mohd Hairol yang lumpuh akibat diserang angin ahmar pada Julai lalu.
Asmadi (kiri) melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Mohd Hairol yang lumpuh akibat diserang angin ahmar pada Julai lalu.
A
A
A

KUANTAN - Bantuan secara bulanan sebanyak RM800 selama 12 bulan disalurkan kepada seorang pengutip buah sawit di Felda Bukit Goh yang lumpuh akibat diserang angin ahmar Julai lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sumbangan dan bantuan yang disampaikan adalah berbentuk wang tunai.

"Kita akui dalam keadaan yang terbeban begini, mereka memerlukan sumber kewangan dan sebagai permulaan pihak kita menyumbangkan sekali bayar sebanyak RM2,000.

"Kemudian ia disusuli sumbangan kewangan sebanyak RM800 setiap bulan dalam tempoh setahun. Ini bagi membantu menampung kos perubatan Mohd Hairol Yusof, 43, selain membeli keperluan lain yang diperlukan,” katanya ketika ditemui di kediaman Mohd Hairol di Jalan Besar Bukit Goh di sini pada Selasa.

Asmadi memaklumkan, jika Mohd Hairol memerlukan bantuan perubatan tambahan, isterinya boleh merujuk kepada MUIP.

Jelasnya, selepas setahun jika keadaannya masih sama, pihak MUIP akan membuat siasatan bagi menyambung bantuan yang perlu diberikan.

“Jika Mohd Hairol sudah sembuh sepenuhnya, mereka perlu datang ke MUIP untuk memberikan maklumat dan perkembangan terkini,” ujar beliau.

Sementara itu, isteri Mohd Hairol, Rozilawati Ismail, 32, mengakui bersyukur dan tidak menyangka ada pihak yang prihatin dengan nasib serta kesusahan menimpa keluarganya.

Artikel Berkaitan:

“Saya cukup terharu dan berasa lega dengan tindakan pantas pihak MUIP.

"Sumbangan yang disampaikan ini sedikit sebanyak telah meringankan beban kami dari segi kewangan," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kisah Mohd Hairol yang lumpuh separuh badan sejak Julai lalu selepas diserang angin ahmar.

Isterinya, Rozilawati terpaksa berhenti kerja untuk memberi tumpuan dan menjaga sepenuhnya suaminya itu.

Pasangan itu turut memohon bantuan kerana tidak mampu menanggung kos rawatan terutama bagi menyediakan keperluan susu khas dan lampin pakai buang yang dianggarkan mencecah RM1,500 sebulan.