Isteri mohon bantuan ringankan beban jaga suami lumpuh

Rozilawati mengurut tangan suaminya.
Rozilawati mengurut tangan suaminya.
A
A
A

KUANTAN - Tiada apa yang mampu menggambarkan keresahan hati seorang isteri apabila suaminya disahkan lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar, awal bulan ini.

Rozilawati Ismail, 42, berkata, suaminya Mohd Hairol Yusof, 43, yang sebelum ini bekerja sebagai pengutip buah sawit di Felda Bukit Goh kini terpaksa berhenti kerja selepas tahap kesihatannya merosot.

Menurutnya, suaminya juga pernah mengadu sakit kepala beberapa kali, namun tidak menyangka ia semakin parah.

“Julai lalu, suami saya mengadu sukar untuk angkat tangan kiri ketika solat dan kami segera bawa dia ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Hasil pemeriksaan doktor, terdapat darah beku pada otaknya dan doktor segera melakukan pembedahan dua minggu lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Besar Bukit Goh pada Isnin.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kantin di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, terpaksa berhenti kerja demi menjaga suaminya dan buntu kerana pendapatan sudah tiada.

Rozilawati memberi susu kepada suaminya yang terlantar selepas mendapat serangan angin ahmar di rumahnya di Jalan Besar Bukit Goh pada Isnin.
Rozilawati memberi susu kepada suaminya yang terlantar selepas mendapat serangan angin ahmar di rumahnya di Jalan Besar Bukit Goh pada Isnin.

Rozilawati mengakui semakin terbeban dengan masalah kewangan apabila wang simpanan semakin kurang kerana terpaksa menguruskan keperluan suaminya.

Artikel Berkaitan:

“Sumbangan orang ramai diharapkan bagi meringankan beban ditanggung terutamanya dalam pembelian susu khas dan lampin pakai buang.

“Saya perlukan hampir RM1,500 sebulan bagi membeli susu khas bagi menggantikan makanan dan lampin pakai buang. Sehari suami diberikan susu enam kali manakala lampin pula sebanyak empat keping,” ujarnya yang memiliki seorang anak yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Terengganu.

Dia yang sedang usahakan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat Pahang bagi menyelesaikan masalah kewangan yang terpaksa ditanggung.

“Saya amat berharap ada individu prihatin dapat membantu meringankan beban dalam menguruskan suami saya,” kata Rozilawati.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 156226364921 atas nama Rozilawati atau menghubunginya di talian 01110899937.