Tekad berubah demi ibu sakit kanser, bapa angin ahmar

Izuan (tengah) mengecat pagar masjid pada Program CSR Penghuni Parol Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Kemumin, Pengkalan Chepa pada Jumaat.
Izuan (tengah) mengecat pagar masjid pada Program CSR Penghuni Parol Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Kemumin, Pengkalan Chepa pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang Orang Bebas Berlesen (OBB) berhasrat tinggal bersama adiknya di Kuala Lumpur selepas dibebaskan daripada parol bagi mengelakkan terjebak dengan dadah untuk kali keempat.

Izuan Ismail (bukan nama sebenar), 27, memberitahu, dia perlu berubah demi ibunya yang berusia 57 tahun kini bergelut dengan penyakit kanser paru-paru tahap dua.

"Baru-baru ini ayah yang berusia 56 tahun pula diserang angin ahmar," katanya ketika ditemui sempena Program CSR Penghuni Parol Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Kemumin, Pengkalan Chepa pada Jumaat.

Berkongsi kisahnya terjebak dengan pil kuda, Izuan memberitahu, kudrat yang dikerah untuk mengangkat barang jualan setiap hari antara sebab dia mengambil dadah itu.

Dia yang bekerja di sebuah pasar mahu mengekalkan tenaga, namun mengakui lama kelamaan menjadi ketagih dan banyak menghabiskan wang membeli dadah jenis itu.

"Lagipun ramai kawan-kawan yang menggalakkan saya menggunakan pil itu dan dalam sebulan saya berhabis ratusan ringgit untuk dadah.

"Duit simpanan juga habis kerana ketagihan yang tidak berkesudahan," katanya.

Izuan yang akan dibebaskan Selasa ini berjanji akan bekerja sebagai pengawal keselamatan bersama adiknya untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga.

"Ibu kini terpaksa berulang-alik di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana menjalani rawatan kimoterapi," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui ibu bapanya selalu memarahi dan menasihatinya supaya insaf namun sukar apabila berdepan rakan-rakan.

Kata Izuan, pengaruh rakan sekampung yang terjebak dadah menyebabkan dia tidak dapat menahan kesabaran sehingga ditahan kali ketiga di Kuala Krai beberapa bulan lalu.

"Sebelum ini saya pernah ditahan di Bentong, Pahang dan Machang.

"Jadi saya fikir lebih baik tinggal bersama adik dan keluar jauh daripada rakan-rakan di sini," katanya.

Izuan antara 19 OBB yang menyertai Program CSR Penghuni Parol Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Kemumin, Pengkalan Chepa pada Jumaat.

Program berkenaan hasil kerjasama syarikat swasta, Jabatan Penjara Pengkalan Chepa, badan bukan kerajaan (NGO) M150 dan badan bukan kerajaan (NGO), M150.