Kemusnahan alam: Peka gesa masyarakat ambil peduli

Shariffa Sabrina (kanan), Kok Kiew (tengah) dan Pengarah Perhutanan Negeri Melaka, Azni Rahman A. Wahid menyempurnakan pelepasan peserta SORR 2019 di Taman Botanikal Melaka.
Shariffa Sabrina (kanan), Kok Kiew (tengah) dan Pengarah Perhutanan Negeri Melaka, Azni Rahman A. Wahid menyempurnakan pelepasan peserta SORR 2019 di Taman Botanikal Melaka.
A
A
A

AYER KEROH - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia akan meneruskan usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga khazanah alam.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pihaknya aktif mengadakan kempen di sekolah, institusi pengajian tinggi dan syarikat korporat di seluruh negara.

Menurutnya, mesej tentang pentingnya menjaga khazanah alam disampaikan supaya masyarakat akan bersama-sama bersuara dan ambil peduli.

"Masyarakat tidak boleh ambil mudah, sebaliknya perlu bersuara mendesak kerajaan mengambil langkah sewajarnya bagi membendung kemusnahan alam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada edisi ketujuh Save Our Rainforest Race (SORR) 2019 yang diadakan di Taman Botanikal Melaka, di sini baru-baru ini.

Pelepasan peserta disempurnakan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.

Shariffa Sabrina berkata, Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah didapati antara negeri yang mempunyai masalah pembalakan haram yang serius.

Justeru katanya, kerajaan negeri digesa lebih serius dalam menangani isu itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu katanya, Peka mengadakan bengkel bagi membincangkan akta-akta berkaitan khazanah alam yang perlu digubal supaya tumpuan diberikan lebih kepada usaha pemeliharaan, pemuliharaan dan konservasi.

"Tiada guna kita ada infrastruktur yang canggih tetapi kehilangan khazanah alam. Hutan tidak diselamatkan hingga hidupan liar pupus kerana kemusnahan habitat," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai SORR 2019, beliau berkata, visi utamanya ialah memupuk dan mendidik masyarakat untuk menghargai khazanah alam.

Sepanjang laluan sejauh 14.4 kilometer, peserta perlu melalui sembilan 'check point' dan menyelesaikan tugasan diberi termasuk menanam pokok hutan.

Sebanyak 1,000 anak pokok ditanam oleh 1,000 peserta program bertemakan 'Selamatkan hutan untuk melindungi hidupan liar' itu.