Kucing mati dijerut: MAA gesa PDRM ambil tindakan

Tangkap layar keadaan kucing yang mati dijerut di Facebook Persatuan Haiwan Malaysia.
Tangkap layar keadaan kucing yang mati dijerut di Facebook Persatuan Haiwan Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menggesa Polis Diraja Malaysia segera mengambil tindakan terhadap individu warga asing yang menyebabkan kematian seekor kucing dengan sengaja.

Menurut Presidennya, Arie Dwi Andika, berdasarkan paparan gambar di laman sosial Facebook persatuan itu, kucing tersebut dibiarkan tergantung dengan keadaan leher terjerut di bingkai tingkap sebuah kediaman di Persiaran Intan Hulu Langat Selangor.

Jelasnya, kejadian itu kemudian disedari berlaku pada jam 10 pagi hari Jumaat oleh penduduk sekitar.

“Satu laporan polis dibuat secara rasmi di Balai Polis Batu 9 Cheras, Hulu Langat, Kajang, 3 Jun 2023 jam 1.11 pagi agar satu siasatan terperinci pihak polis terhadap penjenayah berkelas haiwan ini dilakukan oleh pihak polis mengguna pakai Akta Kebajikan Haiwan 2015 dengan kadar segera.

“Namun menurut penduduk dan saksi tiada sebarang tindakan susulan pihak polis terhadap kes ini dan ia seperti kes yang didiamkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Arie juga dalam hantaran yang sama menegaskan jenayah terhadap haiwan merupakan kesalahan berat dan boleh dihukum di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“MAA juga mahu supaya tiada toleransi serta pihak berkuasa tidak mengambil ringan terhadap jenayah haiwan berkelas begini kerana membimbangi ia menjadi trend dan melarat menjadi jenayah terhadap manusia,” tambahnya.