Tuduhan Izham ibarat tuding jari sendiri: Noh

Noh menyampaikan sumbangan kepada wakil Surau At Taufiqiah, Sungai Sireh pada Majlis Perasmian Klinik Zahran Tanjong Karang dan Penyerahan Van Jenazah Sumbangan Bank Rakyat di Pekarangan Klinik Zahran di sini pada Ahad.
Noh menyampaikan sumbangan kepada wakil Surau At Taufiqiah, Sungai Sireh pada Majlis Perasmian Klinik Zahran Tanjong Karang dan Penyerahan Van Jenazah Sumbangan Bank Rakyat di Pekarangan Klinik Zahran di sini pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim diingatkan memberi pandangan dan ulasan berfakta sebelum membuat tuduhan kononnya UMNO mencampuri urusan badan kehakiman dan sistem perundangan negara.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kenyataan Izham itu seolah-olah menuding jari kepada diri sendiri dan beliau seharusnya belajar daripada kegagalan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

"Semasa PH jadi kerajaan dan saya pembangkang siapa sebenarnya kerajaan yang tiada integriti, kerajaan campur tangan urusan badan kehakiman?.

"Saya hendak beritahu, apabila mereka menang siapa paksa Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin meletak jawatan?," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Klinik Zahran Tanjong Karang dan Penyerahan Van Jenazah Sumbangan Bank Rakyat di Pekarangan Klinik Zahran di sini pada Ahad.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, akibat desakan dibuat PH, akhirnya dua jawatan itu terpaksa dilepaskan akibat tekanan.

Beliau menegaskan, Izham juga perlu melihat semula fakta bagaimana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang mendapat sokongan DAP dilantik menggantikan Md Raus yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara.

"Ini terbukti selepas Malanjum bersara beliau naik satu pentas dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah," ujar beliau.

Noh berkata, kerajaan PH juga pada masa itu terpalit dengan isu desakan terhadap penamatan kontrak peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Artikel Berkaitan:

"Selepas penamatan kontrak itu Mohamed Apandi kemudian diganti Tan Sri Tommy Thomas.

"Begitu juga dengan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya," ujar beliau.

Jelasnya, Izham sepatutnya lebih jelas dan mengetahui fakta sebenar siapa yang mencampuri urusan badan kehakiman dan perundangan negara.

"Kalau beliau (Izham) hendak mempersoalkan UMNO, sebenarnya PH yang menjadi kerajaan sudah lama campuri urusan mahkamah," ujarnya.

Justeru, katanya, rakyat perlu menilai parti mana yang menghormati prinsip undang-undang dan parti mana yang hanya bersifat retorik.

"Saya ingat Izham perlu belajar undang-undang dan cakap ikut fakta," kata Noh.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Izham menyifatkan komen Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar tidak menjawab persoalan terhadap isu yang dibangkitkan.

Menurut Izham, isu yang beliau kemukakan adalah besar dan penting, melibatkan prinsip pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang yang merupakan tunjang pembinaan sebuah negara bangsa yang bermaruah.