Datuk saudara terkilan gagal selamatkan dua beradik rentung

Muhammad (kanan) memapah isterinya yang cedera untuk dibawa ke klinik semasa cuba menyelamatkan dua anaknya dalam kejadian kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru pada Sabtu (Gambar bawah : Ismail)
Muhammad (kanan) memapah isterinya yang cedera untuk dibawa ke klinik semasa cuba menyelamatkan dua anaknya dalam kejadian kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru pada Sabtu (Gambar bawah : Ismail)
A
A
A
JOHOR BAHRU - Datuk saudara kepada dua kanak-kanak yang rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri pada Sabtu, terkilan kerana tida dapat menyelamatkan dua beradik itu.

Ismail Saad, 55, yang tinggal kira-kira lima meter dari rumah keluarga mangsa merupakan individu paling awal menyedari kejadian terbabit..

"Saya ada bau hangit, bila keluar dari rumah tengok ada asap tebal dari rumah mangsa. Saya redah masuk dalam rumah, tengok di dapur tak jumpa budak-budak ni, saya tarik selimut, tak ada, susah cari sebab tak nampak, keadaan gelap, api juga sudah marak.



"Saya memang cuba nak selamatkan mereka, tetapi tidak dapat, dah takdir. Saya tidak mendengar sebarang jeritan mangsa. Saya sedih apabila tidak berjaya menyelamatkan mereka sedangkan saya orang terawal menyedari kebakaran berlaku," katanya ditemui di tempat kejadian pada Sabtu.

Dalam kejadian pada jam 1.40 petang Sabtu itu, Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2, dan Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, yang merupakan adik-beradik rentung dalam kebakaran di rumah terbabit.

Dalam pada itu, Ismail menceritakan, dua beradik itu ditemui berada di tepi pintu bilik selepas api dipadamkan bomba dalam keadaan pintu yang tidak berkunci.

"Mereka memang selalu keluar masuk bilik. Lepas api padam, saya nampak mereka ada tepi pintu, mungkin cuba nak keluar. Kanak-kanak mungkin panik masa tu.

"Kali terakhir saya jumpa mereka pagi tadi, mereka ceria sahaja bermain macam selalu," katanya dan memberitahu keluarga mangsa menyewa di situ hampir dua tahun lalu dan sangat rapat dengan kedua-dua mangsa.

Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Fikri, 20-an berkata, kali terakhir berjumpa anak-anaknya itu pada sebelah pagi sebelum keluar bekerja di Kampung Melayu dekat sini.

Jit Huey (kanan) dan anggota bomba melakukan pemeriksaan di rumah mangsa yang terbakar 60 peratus dalam kejadian kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru pada Sabtu.
Jit Huey (kanan) dan anggota bomba melakukan pemeriksaan di rumah mangsa yang terbakar 60 peratus dalam kejadian kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:


Menurutnya, kedua-dua anaknya nampak seperi biasa sebelum dia menerima panggilan telefon daripada isterinya, Nurul Ain Najihah, 20-an, berkenaan kejadian yang menimpa kedua-dua anaknya itu.

"Mereka nampak okay sahaja sebelum saya keluar bekerja," katanya ketika ditemui sebelum memapah isterinya untuk dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan selepas cedera di kaki ketika cuba menyelamatkan anak-anaknya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Lim Jit Huey berkata, dua beradik itu tinggal berdua di dalam rumah ketika kebakaran berlaku.

Jelasnya, bapa mangsa keluar bekerja manakala ibu mereka berada di rumah jiran yang berada kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati rumah ini dihuni suami isteri bersama dua anak, tetapi ketika kejadian, kanak-kanak hanya tinggal berdua sebelum dilaporkan terkorban," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut laporan mati mengejut (SDR), selain dibantu pihak bomba dalam menjalankan siasatan forensik kebakaran bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

"Kita juga tidak dapat memastikan sama ada kanak-kanak ini tidur ketika kejadian, siasatan masih dijalankan," katanya dan jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk siasatan lanjut.