Lelaki OKU ditemui rentung dalam kebakaran

Api marak ketika anggota bomba sampai di lokasi kejadian.
Api marak ketika anggota bomba sampai di lokasi kejadian.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran yang berlaku di sebuah rumah kedai di Jalan Seri Bahari dekat sini pada Rabu.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba 1, Jamil Abdullah berkata, dalam kejadian jam 4.11 pagi itu pihaknya menemui mayat lelaki berkenaan terlentang di dalam bilik air tingkat bawah rumah kedai berkenaan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati api sedang marak membakar rumah kedai dua tingkat berkenaan.

"Seramai 40 termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Bagan Jermal digegaskan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran.

"Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.43 pagi sebelum menemukan mayat mangsa yang terbaring di dalam tandas," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Jamil berkata, setakat ini identiti mangsa masih lagi belum dikenal pasti.

Katanya, siasatan awal pihaknya dimaklumkan oleh pemilik premis bahawa kedai berkenaan tidak dilengkapi dengan bekalan elektrik.

"Difahamkan mungkin ada sumber lain iaitu penggunaan cahaya seperti lilin yang dipercayai menjadi punca kebakaran.

"Premis berkenaan dipercayai digunakan bagi menyimpan barangan lusuh dan kebakaran membabitkan kemusnahan sehingga 70 peratus," katanya.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi urusan bedah siasat.