Tipu rumah inap: Polis Terengganu terima satu lagi laporan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA BERANG - Polis Terengganu menerima satu laporan mengenai penipuan tempahan sewaan rumah inap di Kuala Terengganu, pada Jumaat

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM2,900 selepas membuat tempahan secara dalam talian untuk menyewa sebuah rumah inap yang diiklankan.

"Mangsa merupakan orang Terengganu yang menyewa rumah inap untuk rakan-rakannya dari luar (negeri). Kita dapati suspek yang belum dikenal pasti telah mengiklankan rumah inap milik orang lain dan bukannya dia punya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Produk Inovasi Kumpulan Inovasi dan Kreatif (Amphibia Qber II) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di Pengkalan Lawit, Tasik Kenyir dekat sini hari ini.

Sehubungan itu Rohaimi menasihati orang ramai termasuk pelancong supaya sentiasa berhati-hati sebelum melakukan pembayaran melibatkan rumah inap terutama secara dalam talian bagi mengelakkan daripada ditipu, lebih-lebih lagi di musim cuti persekolahan ini.

"Lihatlah dahulu ‘review’ daripada penyewa terdahulu dan kalau tidak pasti jangan tempah rumah inap tersebut.

"Pelancong juga diminta supaya tidak melakukan pembayaran penuh sebelum menerima kunci kerana tanda-tanda ‘scammer’ ini, dia akan meminta bayaran penuh terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini pada Jun lepas, polis menerima satu laporan daripada seorang mangsa yang kerugian RM221.50 setelah melakukan pembayaran secara dalam talian untuk menempah sebuah rumah inap di Jalan Pasir Panjang dekat Kuala Terengganu, yang sebenarnya tidak wujud.

Susulan itu pihak polis telah menahan sepasang suami isteri warga tempatan berumur 27 dan 26 tahun yang disyaki terlibat dalam kes penipuan tempahan rumah inap tersebut, hasil serbuan di sebuah rumah di Dungun.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Rohaimi merasmikan bot Amphibia Qber II yang merupakan hasil reka cipta kreatif pasukan IPD Hulu Terengganu yang diketuai Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Adli Mat Daud.

Katanya bot Amphibia Qber II merupakan sebuah bot operasi dua alam serba guna yang dicipta sebagai aset pengangkutan darat dan air oleh pasukan petugas dalam operasi bencana banjir terutama dalam mengharungi kawasan jalan raya yang terputus-putus akibat ditenggelami banjir.

"Ini merupakan kesinambungan hasil reka cipta bot dua alam Amphibia Qber versi pertama yang dihasilkan sebelum ini dan telah terbukti berjaya digunakan semasa penugasan operasi banjir di daerah Hulu Terengganu sejak tahun 2018 sehingga tahun lepas,” katanya.

Bot Amphibia Qber II yang melibatkan kos keseluruhan RM20,000 dibina dengan menggunakan bahan-bahan terpakai seperti besi dan komponen kenderaan serta dilengkapi dengan peralatan penugasan operasi penyelamatan ketika banjir.