Lebih 400 premis di Kelantan, Terengganu terima bekalan gula

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 98 peratus bekalan gula yang diterima oleh pemborong utama telah diedarkan kepada pemborong, peruncit dan pasar raya di Kelantan hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, sebanyak 280 premis melibatkan 263 pemborong, peruncit dan 17 pasar raya telah diperiksa oleh pasukan Task Force dalam Ops Manis pada Jumaat.

"Pemeriksaan mendapati bekalan gula ada hasil pengedaran dan penghantaran yang dibuat oleh enam pemborong utama pada hari ini," katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, pasar raya utama iaitu Mydin telah menerima jumlah bekalan gula tertinggi dengan menjadikan jumlah stok bekalan gula sebanyak 71,040kg daripada syarikat MSM.

"Manakala pasar raya yang mengambil bekalan dengan pusat pengedaran (DC) seperti Econsave, Aeon Mall, Giant dan Lotus masih lagi mempunyai bekalan namun tidak mampu memenuhi permintaan setempat dan menunggu penghantaran," katanya.

Beliau berkata, satu pemborong utama di negeri itu masih belum menerima bekalan daripada pihak kilang.

"Bekalan gula dijangka sampai 9 dan 16 Mei daripada pihak MSM dan CSR," katanya.

Di Terengganu pula, Azman berkata, sebanyak 148 premis melibatkan pemborong, peruncit dan pasar raya telah menerima bekalan hasil edaran daripada 10 pemborong utama.

"Pemborong utama iaitu Shanghai Hung Chong Sdn Bhd telah menerima jumlah bekalan gula tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 45,360kg daripada syarikat CSR," katanya.

Ujar beliau, hasil laporan yang diterima mendapati Terengganu menerima bekalan gula tertinggi iaitu sebanyak 141,768kg daripada MSM dan 127,760kg daripada CSR.

"Bagi isu kekurangan gula di Terengganu pada hari ini mendapati, pasar raya utama yang menerima edaran dari DC juga menerima pembelian yang tinggi dan berlaku kehabisan bekalan.

"Pasar raya yang menerima bekalan dari DC adalah Mydin, Giant, Tunas Manja, Econsave dan Nirwana," katanya.

Tegas beliau, KPDN akan sentiasa komited mempergiatkan serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barangan kawalan di seluruh negara bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan.