Anwar dijangka usul tubuh Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim

Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim di peringkat Parlimen pada 5 September ini.

Pejabat ketua pembangkang memaklumkan, usul penubuhan jawatankuasa itu dibuat bagi membantu kerajaan merangka satu hala tuju yang jelas selain sebagai persediaan mendepani kemelut perubahan iklim.

Bertepatan perkara itu, satu Simposium Perubahan Iklim 2022 juga akan berlangsung pada Isnin ini bertempat di Dewan Bankuet Parlimen, Kuala Lumpur.

"Simposium ini bertujuan untuk menggariskan beberapa isu penting melibatkan kemelut iklim, mencari formula terbaik sebagai rencana untuk daya tahan iklim dan tebatan banjir, menggerakkan negara ke arah pelepasan sifar bersih (net-zero emissions) sambil menekankan aspek ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Hebahan penganjuran Simposium Perubahan Iklim 2022.
Hebahan penganjuran Simposium Perubahan Iklim 2022.

"Inisiatif ini juga diambil berikutan berlaku musibah seperti banjir yang melanda sebahagian kawasan di negara ini pada 2014 dan 2021 kerana corak perubahan iklim yang membimbangkan serta kesan dari pembalakan," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Sementara itu kenyataan tersebut turut memaklumkan, penganjuran simposium turut bermatlamat melibatkan semua kepimpinan negara dan generasi penerus dalam mewujudkan rencana dan kebijakan bagi mendepani permasalahan serta kesan perubahan iklim.

Simposium yang julung-julung kali diadakan ini akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan akan dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan swasta, ahli-ahli akademik, pertubuhan masyarakat madani dan pihak berkepentingan.

Artikel Berkaitan: