Memulihara warisan sejarah Klang

Masjid Diraja Sultan Suleiman merupakan pemberian kerajaan British kepada Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Masjid ini bercirikan seni bina Moghul hasil cetusan L Keste Ven.
Masjid Diraja Sultan Suleiman merupakan pemberian kerajaan British kepada Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Masjid ini bercirikan seni bina Moghul hasil cetusan L Keste Ven.
A
A
A

KLANG - Masjid Diraja Sultan Suleiman, Gedung Raja Abdullah dan Kota Raja Mahadi adalah antara bangunan bersejarah di sebuah daerah yang pernah menjadi ibu negeri Selangor antara tahun 1875 hingga 1880, iaitu Klang.

Walaupun negara rancak bergerak ke arah era digital dan pemodenan, warisan sejarah Bandar Diraja itu tidak dibiar sepi atau terabai dimamah usia.

Monumen yang berusia ratusan tahun itu terus menjadi saksi serta perakam sejarah kepada pelbagai acara dan perlu dikekal agar warga tempatan khususnya generasi muda mengenali asal usul daerah berkenaan.

Enggan khazanah bernilai itu terhapus dek zaman, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Klang (MPK) agar tidak alpa dengan status Bandar Diraja dan tidak mengabaikan nilai sejarahnya.

Suasana Little India yang sentiasa sibuk terutama pada hujung minggu.
Suasana Little India yang sentiasa sibuk terutama pada hujung minggu.

Baginda yang bertitah pada 1 Ogos lalu turut menzahirkan hasrat untuk melihat daerah itu dinaik taraf menjadi Bandar Raya Diraja.

Sultan Sharafuddin yang bertitah sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-132 MPK turut berharap agar pihak tersebut menjadikan daerah itu sebagai lokasi tumpuan pelancong dan memiliki daya tarikan warisan bersejarah.

“Baginda menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH kerana MPK berjaya menelusuri pelbagai fasa kejayaan dan cabaran sejak zaman penjajahan, kemelesetan ekonomi, perang dunia, darurat, kemerdekaan, pandemik sehinggalah hari ini yang mematangkan gerak kerja serta pentadbirannya sehingga Klang menikmati pertumbuhan pesat.

Artikel Berkaitan:

“Baginda berharap MPK terus mempromosikan industri pelancongan di lokasi-lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Klang sekali gus mampu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk di daerah ini,” titahnya.

Persiapan

Bertitik tolak daripada titah Sultan Sharafuddin, MPK mengorak langkah bagi mempersiapkan segala rancangan menuju ke arah Bandar Raya Diraja menjelang 2024, di samping memelihara warisan sejarah di daerah tersebut.

Antara langkah yang diambil oleh PBT adalah menganjurkan Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang yang diadakan sejak 2010.

Inisiatif tersebut bermatlamat untuk menghubungkan monumen dan kawasan yang kaya nilai sejarah serta menaik taraf laluan jejak warisan sedia ada menjadi rangkaian komprehensif.

Program tersebut meliputi 24 tapak sejarah di sekitar bandar Klang Selatan dan Utara.

Selain itu, berbekalkan sokongan padu daripada pelbagai pihak seperti kerajaan Selangor, badan-badan bukan kerajaan (NGO), agensi swasta dan lain-lain, MPK memilih tahun 2023 sebagai tahun persiapan untuk mencapai sasaran mereka.

Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan berkata, pihaknya sedang membentuk penanda aras bagi melayakkan mereka mendapat pengiktirafan sebagai Bandar Raya Diraja oleh kerana ia berbeza dengan taraf bandar raya.

Sehubungan itu, pihaknya menerusi Jabatan Perancangan MPK dengan kerjasama jabatan-jabatan lain dalam agensi tersebut merujuk pelbagai sumber termasuklah bandar-bandar lain di negeri Johor.

“Bandar Raya Diraja Klang ini merupakan satu-satunya bandar raya yang tiada di tempat lain. Jadi, kita bangunkan pelan dan pengukuran khusus untuk mengukur kejayaan kita supaya dapat mengisytiharkan Klang sebagai Bandar Raya Diraja,” katanya.

Noraini
Noraini

Perintis Bandar Raya Diraja menjelang 2024

Selain memastikan warisan sejarah Klang tidak tenggelam dek arus masa, kerajaan negeri turut membantu khususnya mewartakan bahan warisan.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, antara monumen di Klang yang telah diwartakan ialah Gedung Raja Abdullah manakala Perpustakaan Daerah Klang dan Jambatan Kota pula masih dalam proses pewartaan.

Bagaimanapun, usaha tersebut memerlukan pihaknya memohon kepada Jabatan Warisan Negara bagi mendapat persetujuan mereka, sebelum meminta izin melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor untuk mewartakan bahan sejarah tersebut.

Menurut beliau, perkara tersebut berbeza di Melaka, apabila mereka memasukkan enakmen dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, untuk mempunyai hak mewartakan khazanah bersejarah.

Justeru, beliau bercadang untuk membawa usul enakmen berkenaan pewartaan bahan bersejarah di negeri tersebut untuk dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

“Kita akan angkat isu ini untuk dibahaskan dalam Sidang DUN sama ada kami ada hak untuk wartakan (bahan sejarah Selangor),” katanya.

Borhan turut bercadang untuk membangunkan Sungai Klang dengan menjalankan beberapa projek pelancongan seperti hotel dan kampung budaya.

Ujarnya, rumah budaya yang bakal ditempatkan di lokasi berkenaan juga boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti seperti persembahan kebudayaan, acara perkahwinan dan sebagainya.

“Kita harap Klang akan menjadi perintis kepada semua negeri di Malaysia sebagai satu-satunya Bandar Raya Diraja yang diiktiraf menjelang 2024,” katanya.