Nyanyuk sangatkah sehingga terlupa kibar Jalur Gemilang

Gambar hiasan 123rf
Gambar hiasan 123rf
A
A
A

SINAR Harian pada Isnin lalu melaporkan jumlah penghidap penyakit demensia atau nyanyuk di Malaysia dijangka meningkat kepada 500,000 orang pada 2050.

Penyakit nyanyuk boleh membuatkan penghidapnya hilang fungsi kognitif iaitu berfikir, mengingat dan mempertimbangkan sesuatu.

Namun, yang menjadi persoalan kepada Merak Jalanan, jumlah besar penghidap nyanyuk itu dijangka berlaku kira-kira 30 tahun lagi dan bukannya sekarang.

Kalau begitu, kenapa Merak Jalanan lihat sebahagian besar kediaman di taman-taman dan premis perniagaan tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-65.

Seandainya bilangan kediaman atau premis tidak mengibarkan Jalur Gemilang dijadikan indikator masalah nyanyuk di negara ini, angka 500,000 penghidap nyanyuk yang dijangka pastinya naik berlipat kali ganda.

Jika ulang tahun perkahwinan dan percintaan boleh diingati serta disambut dengan meriah, kenapa detik penuh bermakna buat negara ini boleh diabaikan begitu sahaja.

Maka, apakah ubat untuk mereka yang ‘nyanyuk’ tidak memasang Jalur Gemilang? Ada beberapa negara mengenakan denda kepada rakyatnya yang tidak mengibarkan bendera negara pada hari kemerdekaan.

Ada juga pihak berkuasa tempatan mengenakan kompaun kepada penduduk dan peniaga yang tidak berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Perlukah undang-undang khas diwujudkan bagi memastikan rakyat tidak ‘nyanyuk’ untuk memasang Jalur Gemilang?

Begitupun, Merak Jalanan berpendapat biarlah sesuatu perbuatan itu lahir ikhlas daripada hati dan bukannya paksaan.

Mari bersama-sama meriahkan sambutan hari kemerdekaan negara hari ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang.