Cuaca panas: Pencerobohan nelayan asing dijangka meningkat

Syed Nor Adli (kanan, berdiri) beramah mesra dengan tetamu yang yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh pada Isnin.
Syed Nor Adli (kanan, berdiri) beramah mesra dengan tetamu yang yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menjangkakan pencerobohan nelayan asing meningkat ekoran cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, ini kerana keadaan laut yang tenang memudahkan aktiviti penangkapan hasil laut dilakukan.

"Sebagai persediaan kami sentiasa melakukan rondaan bagi memastikan kawalan perairan negara berada pada tahap terbaik.

"Selain itu pemantauan berkait dengan aktiviti pencerobohan turut dijalankan hasil bantuan daripada komuniti nelayan dan pekerja di pelantar minyak," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Maritim Malaysia Kelantan pada Isnin.

Menurut beliau, cuaca panas yang sedang melanda ketika ini tidak menggugat rondaan berkala yang dilakukan.

Ujarnya, Maritim Malaysia Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan aktiviti pencerobohan di perairan negara.

Dalam perkembangan lain, Syed Nor Adli turut menasihat anggotanya supaya menjaga kesihatan sepanjang musim panas 'melampau' ketika ini.

"Saya menasihatkan anggota supaya sentiasa minum air dengan kadar yang cukup bagi mengelakkan hidrasi dalam badan," ujarnya.

Beliau berkata, nasihat itu juga turut disampaikan kepada komuniti laut seperti nelayan, bot pelancong, kapal komersial dan sebagainya.