Bina tembok elak kejadian runtuhan berulang

Arul Kumar ketika melawat lokasi kejadian.
Arul Kumar ketika melawat lokasi kejadian.
A
A
A

NILAI - Kerajaan negeri akan membina tembok di sepanjang lereng bukit di belakang rumah penduduk di Rumah Rakyat Batang Benar di sini susulan kejadian enam rumah retak dan runtuh akibat mendapan tanah selepas hujan lebat pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai J Arul Kumar berkata, penduduk yang telah membina struktur tambahan di luar kawasan rumah mereka perlu bersetuju untuk merobohkannya bagi membolehkan tembok baharu itu dibina.

"Tembok ini bagi menstabilkan kedudukan tanah di lereng bukit dan sebagai penghadang berikutan terdapat projek perumahan baharu di kawasan bawah.

"Berdasarkan pemerhatian, hampir 80 peratus rumah di sini mempunyai struktur tambahan di bahagian belakang dan saya percaya sebahagian besarnya telah dibina lebih 20 tahun ke 30 tahun lalu.

"Kemungkinan tanah di lereng bukit itu tidak lagi kuat untuk menampung beban struktur bangunan yang dibina ditambah pula dengan kejadian hujan lebat beberapa hari ini menyebabkan runtuhan berlaku," katanya ketika ditemui di lokasi pada Selasa.

Menurutnya, pembinaan tembok berkenaan akan cuba dilakukan segera memandangkan kawasan itu kini dilihat berisiko untuk diduduki.

Ujarnya, ia dijangka mengambil masa yang lama dan melibatkan kos agak tinggi namun hanya itu sahaja jalan penyelesaian ketika ini.

"Sebelum projek ini dilaksanakan kita minta semua penduduk di deretan itu bersetuju untuk robohkan struktur binaan tambahan di belakang rumah mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu hanya membina tembok di bahagian terjejas kerana berkemungkinan besar kejadian sama akan berlaku lagi di rumah lain," katanya.

Jelasnya, pada tahun 2018 kerajaan negeri telah pun mendapat peruntukan untuk membaik pulih tembok berkenaan namun ia terpaksa ditarik balik.

Ia berikutan ada penduduk yang tidak bersetuju merobohkan struktur tambahan rumah mereka.

"Beberapa jabatan yang terbabit telah melawat kawasan ini dan pihak bomba telah menasihatkan penduduk terjejas untuk berpindah ke tempat lain buat sementara waktu.

"Kita akan bantu cari rumah sewa untuk penduduk dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah melawat mereka untuk mengenal pasti keperluan segera," katanya.