Enam rumah runtuh, retak akibat mendapan tanah

Kesan runtuhan struktur bahagian belakang rumah penduduk di Rumah Rakyat Batang Benar.
Kesan runtuhan struktur bahagian belakang rumah penduduk di Rumah Rakyat Batang Benar.
A
A
A

NILAI - Enam rumah di Rumah Rakyat Batang Benar di sini mengalami keretakan teruk dan runtuh pada bahagian belakang selepas berlaku mendapan tanah dalam kejadian hujan lebat pada petang Isnin.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu.

Seorang penduduk, V Nirmala Devi, 38, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat bersama dua anak berusia 11 dan 12 tahun di ruang tamu.

"Ketika itu, hujan sudah mula lebat dari jam 5.30 petang lagi dan tiba-tiba saya dengar bunyi runtuhan yang sangat kuat di belakang rumah.

"Bila saya tengok keseluruhan struktur belakang rumah saya telah runtuh sepenuhnya dan berlaku pergerakan tanah sedikit demi sedikit," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, bimbang kejadian lebih buruk berlaku, dia bergegas menyelamatkan barangan berharga dan meletakkannya di garaj.

Tambahnya, kebimbangan penduduk di sini akan berlaku kejadian tanah runtuh disebabkan projek perumahan baharu bersebelahan menjadi kenyataan.

"Sebelum ini, rumah saya sudah retak disebabkan projek perumahan baharu itu dan kita telah buat aduan kepada pihak pemaju.

Artikel Berkaitan:

"Pihak pemaju sudah baik pulih keretakan itu, tetapi kemungkinan hujan terlalu lebat semalam menyebabkan berlaku mendapan tanah yang teruk," katanya.

Keadaan bahagian dapur rumah seorang penduduk yang retak.
Keadaan bahagian dapur rumah seorang penduduk yang retak.

Sementara itu, R Kumar, 39, pula berkata, dia bersyukur kerana ketika kejadian ibunya tidak berada di bahagian dapur kerana sebahagian besar ruang berkenaan telah alami keretakan serius.

"Saya sudah 30 tahun tinggal di sini bersama emak dan seorang abang.

"Ketika kejadian, saya tiada di rumah dan bila ibu telefon beritahu belakang rumah telah runtuh, saya bergegas balik," katanya.

Menurutnya, melihat kesan daripada kejadian berlaku, rumahnya tidak lagi selamat untuk diduduki.

Bagaimanapun katanya, dia tidak pasti untuk tinggal di mana buat sementara waktu dan berharap pihak kerajaan dapat membantu.

"Saya bukannya orang senang hendak cari rumah lain. Bila jadi macam ini, saya pun tidak berani hendak biarkan ibu tinggal di sini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Mejar (PA) Shamil Ithman berkata, ketika ini keadaan terkawal dan tiada runtuhan tanah baharu.

"Bagaimanapun penduduk dinasihatkan supaya mengosongkan rumah kerana bimbang akan berlaku runtuhan lebih-lebih lagi ketika hujan. Sehingga kini tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera," katanya.