Skandal LCS: Peguam Negara digesa segerakan pendakwaan

Muhammad Kamil Abdul Munim
Muhammad Kamil Abdul Munim
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun digesa supaya segera memulakan pendakwaan terhadap individu yang terlibat dalam skandal penyelewengan dana projek kapal tempur pesisir (LCS).

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tidak ada sebarang alasan munasabah untuk melengahkan proses pendakwaan lebih-lebih lagi skandal tersebut bukan hal yang baharu.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri sudah memaklumkan bahawa kertas siasatan kes tersebut sudah lengkap dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Kelewatan mengheret petualang ini ke mahkamah hanya akan menimbulkan tanggapan buruk terhadap komitmen kerajaan dan perdana menteri dalam usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Skandal LCS ini bukan hal yang baru diketahui oleh agensi penguat kuasa dan badan penyiasat. Ini juga merupakan di antara kecurangan besar yang melibatkan dana awam yang diketahui setakat hari ini selepas daripada skandal 1 Malaysia Development Berhad 1MDB.

“Justeru, tidak ada sebarang alasan yang munasabah bagi peguam negara untuk melengah-lengahkan pendakwaan terhadap individu korup yang terlibat dan bersubahat menyeleweng dana kerajaan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, pada Isnin.

SPRM pada 11 Ogos lalu memaklumkan, kertas siasatan berhubung LCS telah dirujuk kepada AGC dengan beberapa nama turut dicadangkan untuk didakwa.

Susulan daripada itu, Idrus pada 14 Ogos lalu dilaporkan berkata, pihaknya sedang meneliti kertas siasatan tersebut dan akan membuat keputusan secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Kamil berkata, melihat kepada laporan audit forensik dan dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), terdapat bukti jelas dan kukuh untuk mengheret individu terlibat ke mahkamah.

Katanya, pendakwaan itu termasuk membabitkan bekas menteri bertanggungjawab membuat keputusan mengubah reka bentuk kapal tersebut tanpa sebarang justifikasi munasabah dan bertentangan dengan kehendak serta keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek LCS bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan PAC turut mendedahkan, BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk projek tersebut, menyebabkan syarikat itu menghadapi 'cost overrun' sebanyak RM1.4005 bilion.