Usaha tangani isu LCS tunjuk perkembangan positif

Laporan muka depan Sinar Harian hari ini.
Laporan muka depan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

PERDANA Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Rabu akhirnya membuka mulut mengenai isu membabitkan masalah yang berlaku dalam pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Selepas mengadakan mesyuarat kabinet, Ismail memaklumkan kabinet bersetuju untuk menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap projek berkenaan.

Sekiranya terdapat bukti kukuh, beliau berkata, Peguam Negara perlu membuat pendakwaan dan membawa mereka yang yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Pada masa sama, Ismail memaklumkan bahawa mesyuarat kabinet turut membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

Katanya, Jemaah Menteri turut mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan.

Beliau bagaimanapun berkata, proses tersebut perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

Jelasnya, kerajaan memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu berkenaan akan dijalankan dengan telus dan tiada mana-mana pihak terlibat akan dilindungi.

Susulan daripada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kabinet itu yang menerima pakai dua syor terpenting dalam Laporan LCS pada Khamis lalu.

Kah Woh berkata, dua syor itu berhubung tindakan menyahklasifikasi JKSTUPKK dan keperluan SPRM untuk mengambil tindakan segera ke atas penemuan Laporan PAC, Laporan JKSTUPKK dan Laporan Pengauditan Forensik.

Dalam pada itu, kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman mengenai isu LCS mendapat reaksi daripada bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Chin Tong menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu menyifatkan kenyataan Ahmad Nazim berhubung pengurusan dana dalam projek LCS itu adalah mengejutkan.

Ia selepas Ahmad Nazim pada Selasa memberitahu bahawa Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang merupakan kontraktor utama dalam projek pembinaan LCS terpaksa mengambil alih termasuk hutang bank syarikat PSC, selepas entiti itu sebelum ini gagal dalam usaha penswastaan projek pembinaan kapal tentera laut.

Menurut Chin Tong, dana yang diperuntukkan untuk LCS tidak sepatutnya digunakan untuk menyelamatkan projek lain seperti New Generation Patrol Vessel (NGPV).

Pada masa sama, beliau berkata, kenyataan Nazim untuk menatijahkan pembayaran RM6 bilion bagi menampung perbelanjaan pembelian secara pukal hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal itu juga tidak boleh diterima.

Menurut beliau, teori pembelian secara pukal itu adalah satu penipuan kerana projek tersebut belum memiliki reka bentuk muktamad bagi kapal tersebut dan pembelian itu dilihat bakal menyebabkan pembaziran.

Komitmen kerajaan untuk lebih telus dalam menguruskan isu tersebut dengan menyahklasifikasikan beberapa laporan penting berkaitan projek berkenaan tentunya merupakan langkah sangat signifikan.

Bagaimanapun, ia tidak seharusnya terhenti di situ. Tindakan serta hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap individu terlibat yang menyebabkan berlakunya ketirisan dalam projek bernilai RM9 bilion itu.