Projek LCS: Segera dakwa individu terlibat

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Wan Emril Nizam)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Wan Emril Nizam)
A
A
A

KUANTAN - Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters Pahang menggesa supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) segera mendakwa individu yang terlibat dengan skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, gesaan itu dibuat selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan sudah merujuk kertas siasatan berhubung isu tersebut kepada pihak AGC.

“SPRM sudah selesai jalankan siasatan, jadi pihak AGC pula kena bertindak dan kalau boleh segerakan pendakwaan, jika sudah ada bukti lengkap bersabit kes ini.

“Kalau boleh jangan pilih bulu, mana-mana individu yang terlibat sama ada penjawat awam atau ahli politik mereka perlu diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Pada Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan kertas siasatan mengenai kes itu sudah pun dirujuk kepada pihak AGC untuk tindakan lanjut.

Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan AGC berhubung perkara itu.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan pada Khamis lalu.

Wan Emril Nizam menjelaskan semua pihak ingin mengetahui siapa dalang di sebalik skandal ini dan disebabkan itu semua pihak termasuk SPRM perlu telus menjalankan siasatan.

Beliau mengakui tidak mahu Malaysia dilabel negara yang mempunyai korupsi tertinggi di dunia.

“Jadi, sebab itu kita mahu SPRM dan AGC menjalankan tanggungjawab dan amanah mereka secara telus kerana ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada indeks persepsi rasuah di negara kita.

“Justeru, yang terlibat mereka layak mendapat hukuman di atas perbuatan mereka,” ujarnya.