ASM diarah laksana kaji selidik pelajar tak minat sambung belajar

Dr Adham menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival STEM Merdeka Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia di Pusat Informasi dan Pelancongan Kota Tinggi, di Kota Tinggi pada Ahad.
Dr Adham menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival STEM Merdeka Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia di Pusat Informasi dan Pelancongan Kota Tinggi, di Kota Tinggi pada Ahad.
A
A
A

KOTA TINGGI - Akademi Sains Malaysia (ASM) perlu melakukan kaji selidik berhubung isu lebih 70 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tidak berminat menyambung pelajaran.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkembangan itu adalah satu kerugian kepada negara untuk melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

"Kajian itu perlu dilakukan segera bagi melihat tindakan sesuai yang akan dilaksanakan untuk menambah minat golongan itu.

"Kita kena mengesahkannya dan saya telah arahkan Akademi Sains Malaysia (ASM) iaitu akademi menyokong sains industri dalam negara supaya membuat kaji selidik semula adakah peratusan tersebut tepat atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival STEM Merdeka Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia di Pusat Informasi dan Pelancongan Kota Tinggi di sini pada Ahad.

Pada 31 Julai lalu, Kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran.

Walaupun data tersebut adalah daripada 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.

Mengikut data kajian tahun 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan, namun selepas keputusan hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian manakala bakinya memilih untuk tidak berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Dr Adham berkata, langkah selanjutnya perlu dilaksanakan supaya masalah itu tidak jadi bebanan awal negara dalam melahirkan generasi berteknologi tinggi serta berminat dalam bidang sains inovasi dan teknologi.

Hasil kajian tersebut katanya, akan diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan susulan.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara mengucapkan tahniah atas penganjuran karnival itu yang turut mendapat kerjasama kerajaan Johor dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Katanya, melalui program seperti itu secara tidak langsung dapat merealisasikan harapan Perdana Menteri supaya lebih ramai bakat-bakat muda dan baharu menyertai bidang sains dalam karier pelajaran dan pekerjaan.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Adham berkata, penganjuran program itu yang dilancarkan April lalu berjaya mencapai lebih 1.56 juta penyertaan sekali gus melepasi sasaran asal 1.5 juta penyertaan.

"Sehingga semalam, lebih 1.67 juta penyertaan telah dicatatkan. Kita sasarkan hanya 1.5 juta penyertaan sehingga Oktober ini namun berjaya dicapai lebih awal pada 11 Ogos lalu.

"Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan. Untuk makluman, sehingga kini sebanyak 175 program telah dianjurkan melalui Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 ini," ujar beliau.

Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 katanya, jelas mencerminkan kejayaan sebuah platform yang memperkayakan aktiviti penemuan dan eksplorasi sains bagi tujuan pengukuhan pendidikan sains dalam kalangan pelajar.