MTUC gesa tindakan ke atas majikan gagal bayar gaji minimum

Kenyataan media Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), pada Jumaat.
Kenyataan media Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan dan majikan segera melaksanakan gaji minimum kepada pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah serta bangunan kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, pelaksanaannya berdasarkan perintah gaji minimum 2022 masih belum menyeluruh sehingga kini.

Menurut beliau, terdapat syarikat kontraktor tidak memberi upah kepada pekerja tersebut berdasarkan gaji minimum.

“MTUC menerima aduan daripada pengawal keselamatan di sekolah mahupun di bangunan kerajaan yang tidak dibayar kadar bayaran kerja lebih masa setelah kerja lebih masa dilakukan.

“Jelas, ini adalah suatu perkara yang dikategorikan sebagai buruh paksa yang serius terhadap pekerja-pekerja tempatan kita. Gaji minimum telah diumumkan dan dilaksanakan pada 1 Mei 2022 sempena sambutan Hari Pekerja Sedunia," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Kata Kamarul Baharin, pihak kerajaan seharusnya mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang masih tidak mengendahkan isu kebajikan pekerja ini.

“Tindakan tegas perlu dilakukan secara holistik dan segera. Tidak perlu lagi menunggu sehingga aduan dibuat.

“Pemeriksaan berterusan daripada pihak penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja perlu dijalankan secara agresif bagi memastikan pelaksanaan ini dipatuhi," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Tegas Kamarul Baharin, sekiranya perkara tersebut gagal dicapai pihaknya akan mencadangkan tindakan lain antaranya menyuarakannya di peringkat global seperti di Persidangan Perburuhan Antarabangsa.

“MTUC tidak boleh bersetuju apa-apa tindakan daripada mana-mana pihak yang berunsurkan buruh paksa. Lebih-lebih lagi melibatkan pekerja di negara kita,” katanya.