Penetapan gaji minimum perlu berdasarkan pelbagai aspek

Penetapan gaji minimum perlu dibuat berdasarkan pelbagai aspek. - Gambar hiasan
Penetapan gaji minimum perlu dibuat berdasarkan pelbagai aspek. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penetapan gaji minimum perlu dibuat berdasarkan pelbagai aspek termasuk sektor pekerjaan, kelayakan akademik, pengalaman dan kemahiran pekerja bagi memberi keadilan kepada semua pihak, menurut dua pemimpin kesatuan pekerja utama negara.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohamad Rizan Hassan berkata, pertimbangan kelayakan akademik semata-mata tidak praktikal dan tidak adil kerana ia boleh dimanipulasi oleh majikan dengan menawarkan gaji rendah kepada pekerja yang mungkin kelayakan akademiknya rendah namun mempunyai pengalaman luas dan berkemahiran.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata ia juga tidak sihat untuk pasaran pekerjaan kerana ia memberi ‘isyarat’ bahawa Malaysia terkebelakang berbanding sesetengah negara dalam soal penggajian pekerja berkemahiran.

"Di Singapura, Australia dan New Zealand, pekerja yang mempunyai kemahiran tahap tiga atau empat dalam bidang automatif serta memiliki sijil profesional sebagai juruteknik automatif dianggap sebagai pakar dalam bidang itu dan diberikan gaji dua atau tiga kali ganda, berbanding di Malaysia yang memperoleh hanya RM2,700 hingga RM3,000 sebulan.

"Di Thailand dan Vietnam, siswazah kemahiran Malaysia diberi ruang untuk bekerja di negara tersebut dengan gaji tinggi dan ini kurang elok kerana akan menyebabkan pelarian intelektual secara berterusan,” katanya sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu mengenai gaji minimum.

Menurut Anwar, pelaksanaan gaji minimum di negara ini masih sukar serta "hiruk-pikuk" dan kaedah baharu pelaksanaannya akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan depan bagi mendapatkan penyelesaian "sekali dan untuk semua.”

Perintah gaji minimum yang dikuatkuasakan mulai 1 Mei tahun lepas adalah berkadar RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

Bagaimanapun, bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum ditangguhkan dari 1 Jan lepas kepada 1 Julai depan.

Mengulas lanjut, Mohamad Rizan berkata, penetapan gaji minimum tidak boleh hanya berdasarkan kepada satu kadar gaji standard kerana majikan akan berpegang kepada standard berkenaan dalam menawarkan upah kepada pekerja.

"Dalam melaksanakannya, kerajaan juga tidak boleh memberikan pengecualian kepada mana-mana pihak kerana perkembangan itu adalah satu bentuk diskriminasi kepada pekerja lain ketika semua pihak sama-sama merasai kos sara hidup yang semakin tinggi.

"Jika dihapuskan langsung (gaji minimum) pula, ia juga tidak boleh kerana kerajaan akan mempunyai kesukaran untuk mengawal industri khususnya berkaitan pembangunan sumber manusia.

"Kita khuatir, kalau tiada gaji minimum, industri akan lebih tidak bersifat rasional dalam penentuan gaji, yang akhirnya merugikan lagi tenaga kerja,” katanya.

Bagi Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani pula, penetapan gaji minimum harus bersifat progresif bagi mengimbangi keperluan dan keadaan kos sara hidup masyarakat yang semakin meningkat hari ini.

Beliau berharap gaji minimum itu mengambil kira pengalaman, kemahiran dan sektor diceburi pekerja, selain mencadangkan supaya gaji minimum dikaji secara berkala, sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memastikan gaji yang diterima dalam pasaran pekerjaan relevan, mengikut keadaan ekonomi semasa.

"Ini yang perlu dilihat secara holistik selain pemantauan penguatkuasaan diteruskan terhadap pematuhan majikan kerana dalam pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebelum ini, ada majikan didapati memotong elaun pekerja untuk dimasukkan dalam gaji pokok.

"...tetapi MTUC menentang keras kerana ia tidak menepati atau telah melanggar perintah gaji minimum itu sendiri, mana-mana majikan tidak boleh memasukkan mana-mana elaun ke dalam gaji pokok untuk dapatkan gaji minimum,” katanya.

Beliau berkata selain penguatkuasaan, usaha untuk meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja berhubung perintah gaji minimum juga penting kerana tidak ramai pekerja mengambil tahu tentang hak melalui perkara yang termaktub dalam Akta Kerja 1955 bagi melindungi mereka. - Bernama