MTUC gesa kerajaan tidak tangguh laksana pindaan Akta Kerja 1955

Kamarul Baharin
Kamarul Baharin
A
A
A

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan agar tidak menangguhkan pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang dijadual akan dilaksanakan pada 1 September ini.

Gesaan itu dibuat selepas Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1995 mulai 1 September yang dianggarkan akan menyebabkan majikan di seluruh negara menanggung kos tambahan RM110.99 bilion.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, kenyataan dibuat MEF sering diungkapkan apabila setiap kali terdapat pelaksanaan pindaan baharu dalam mana-mana Akta Perburuhan negara yang utama.

“MTUC menyifatkan permintaan MEF untuk menangguhkan pelaksanaan pindaan Akta Kerja menyakitkan hati golongan pekerja yang berjumlah 16.5 juta.

“Pindaan ini telah lama diusahakan dan jika pindaan ditangguhkan sama ada sebahagian atau sepenuhnya akan menyebabkan kerajaan terpaksa berhadapan dengan golongan pekerja yang menunggu pindaan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tegas Kamarul Baharin, kenyataan MEF berkenaan nilai anggaran yang mengatakan majikan akan menanggung kos tambahan RM110.99 bilion juga tidak tepat.

Beliau turut mengambil contoh kenyataan yang dibuat sebelum ini bahawa kebanyakan majikan di Malaysia akan muflis sekiranya pelaksanaan gaji minimum diperkenalkan.

“Apabila Perintah Gaji Minimum 2022 dilaksanakan bermula 1 Mei 2022 yang lalu, kenyataan mengatakan banyak syarikat akan tutup atau muflis adalah tidak benar,” ujarnya.

Kamarul Baharin pada masa sama menyentuh mengenai topik hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia berhubung pengurangan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu dan waktu kerja fleksibel.

“MTUC menggesa pihak majikan agar tidak manipulasi bayaran kerja lebih masa apabila pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam akan dilaksanakan nanti.

“MTUC berharap penguatkuasaan secara berterusan dapat dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.