Pemegang pas S-MM2H dibenar bekerja, melabur di Sarawak

Abdul Karim Rahman Hamzah - Foto Bernama
Abdul Karim Rahman Hamzah - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Pemegang pas Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) dibenarkan bekerja atau terlibat dalam aktiviti pelaburan dan perniagaan semasa berada di negeri ini bermula 1 September ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, kebenaran itu adalah satu daripada tiga penambahbaikan yang dicadangkan bagi mempertingkatkan peraturan dan keperluan Program S-MM2H sekali gus memastikan ia terus memberi manfaat kepada Sarawak.

"Ini tertakluk kepada beberapa terma dan syarat. (Pertama), mereka mesti golongan profesional atau pelabur selain turut tertakluk kepada kebenaran daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

"Syarat mandatori bagi membuka akaun deposit tetap dengan mana-mana bank tempatan di Sarawak kekal RM150,000 bagi pemohon individu dan RM300,000 bagi pasangan,” katanya pada sidang media mengenai S-MM2H di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, bukti dana pencen dan dana pendapatan luar persisir diperlukan daripada pemohon sebagai bukti kemampuan mereka menyara diri semasa tinggal di Sarawak.

Menurutnya, pemegang pas S-MM2H juga perlu tinggal sekurang-kurangnya 30 hari dalam setahun di Sarawak, berbanding 15 hari sebelum ini sebagai satu daripada syarat mendapatkan lanjutan atau memperbaharui visa mereka.

Abdul Karim berkata, berdasarkan permohonan S-MMH2H dari September 2020 hingga Julai lepas, Amerika Syarikat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 32 permohonan diluluskan, diikuti United Kingdom (30) dan Singapura 26). - Bernama

Artikel Berkaitan: