Salur semangat kenegaraan melalui filem

Filem biografi epik, ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ terus mencetuskan fenomena luar biasa apabila meraih kutipan tiket berjumlah RM53 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.
Filem biografi epik, ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ terus mencetuskan fenomena luar biasa apabila meraih kutipan tiket berjumlah RM53 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.
A
A
A

PENGARAH yang ‘mesra’ dengan kutipan filem pecah panggung, Syamsul Yusof dilabelkan seorang yang bijak dalam menarik audiens membeli tiket wayang.

Beliau memang pandai memuaskan hati penonton sehinggakan karya arahannya seperti Munafik 2, Khurafat, KL Gangster dan KL Special Force mencatatkan kutipan tinggi.

Seperti kata Syamsul: “Pembikin filem wajar ikut kata hati, bukan ikut buku.”Jika diamati, beliau mengarahkan filem mengikut rentak semasa. Daripada genre aksi, kemudian dominasi naskhah seram membuatkannya menelusuri arus sama.

Pun begitu, beliau bukan seorang yang cincai. Plot cerita yang dihasilkan tidak klise.

Tidak keterlaluan untuk disebut, Syamsul juga cerdik dari aspek pemilihan aktor dan aktres. Tidak kiralah selebriti itu tengah ‘in’ atau tidak, asalkan watak yang diberi sesuai dimainkan.

Lihat sahaja ledakan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya mencatat kutipan RM96 juta selepas lebih sebulan ditayangkan di pawagam.

Teraju utamanya ialah Datuk Adi Putra, Beto Khusyairi dan Wan Hanafi Su yang bukan hero komersial.

Pun demikian, impak yang dizahirkan tiga pelakon itu memang berbisa. Kita yang menonton terasa aura dan semangat yang dibawakan.

Artikel Berkaitan:

Seperkara, siapa pernah terfikir orang mahu tonton karya yang berinspirasi sejarah? Namun, Syamsul berani menongkah arus ketika masih ramai sutradara takut mengarah genre sedemikian. Mana ada orang buat filem kalau tidak boleh menjana untung.

Sesungguhnya, kejayaan Mat Kilau telah membuka mata banyak pihak. Buktinya, Syamsul menerima tawaran untuk menghasilkan sebuah filem epik mengangkat keagungan sejarah negeri Melaka.

Sebelum itu, kerajaan Terengganu sedia bekerjasama dengannya untuk membikin filem pahlawan Terengganu seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh. Perkembangan itu adalah momentum yang sangat baik.

Pada saat semangat patriotisme golongan muda yang kian kendur dek kerana tidak mengetahui perjuangan tokoh di sebalik kemerdekaan negara, kehadiran filem sebegitu sedikit sebanyak menjentik naluri mereka untuk menghargai pejuang silam.