Filem arahan Syamsul, Syafiq ada ramuan unik - Jurey Latiff

Yusof (tengah) bersama Syamsul (kanan) dan Syafiq.
Yusof (tengah) bersama Syamsul (kanan) dan Syafiq.
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan karya yang dihasilkan oleh keluarga Datuk Yusof Haslam terutama dua anak lelakinya iaitu Syamsul, 39, dan Syafiq, 31, mempunyai ramuan unik sehingga mampu menarik orang ramai untuk menonton filem arahan mereka.

Pengerusi Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, Syamsul dan Syafiq dianugerahkan oleh ALLAH SWT bakat semula jadi yang diwarisi daripada bapanya.

Beliau berkata, aura dan kehebatan Yusof Haslam sampai kepada anak-anaknya sehingga dapat menghasilkan filem yang mempunyai cita rasa tinggi dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Tidak dinafikan branding Skop Production milik Yusof Haslam sejak dahulu lagi dikenali masyarakat. Kita kena ingat beliau pernah digelar The Six Million Dollar Man suatu ketika dahulu.

“Jadi, branding itu turut memainkan peranan dan menjadi daya penarik. Lagipun Syamsul dan Syafiq sudah buat filem-filem hebat sebelum ini, karya mereka juga dinantikan penonton. Orang ramai sanggup bayar untuk menonton,” jelasnya.

Tambah Jurey Latiff, untuk membina sesuatu branding itu, ia memerlukan masa.

JUREY LATIFF
JUREY LATIFF

“Orang kata kalau gagal sekali jangan putus asa, terus buat dan cari formula yang penonton mahu. Sebenarnya, kita ramai pengarah muda yang berbakat tetapi branding masih baru.

“Saya kira semua rakyat Malaysia dahagakan filem-filem baharu bertaraf antarabangsa dan apa yang saya nampak pengarah muda sekarang begitu hebat berkarya,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan supaya kerajaan menyediakan dana bagi menghasilkan filem dan cerita yang dapat membina bangsa dari segi pemikiran, bukannya hiburan semata-mata.

“Contoh filem sejarah biasanya tidak mendapat kutipan baik namun diharapkan kerajaan dapat menyokong perfileman dengan sediakan dana hasilkan cerita sedemikian,” tambahnya.