Tak hormat senior punca pelajar junior dipukul

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar sebuah kolej vokasional di sekitar Wangsa Maju yang diserang berkumpulan oleh 10 pelajar senior Selasa lalu dikatakan berpunca daripada perselisihan faham antara mereka.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, perselisihan faham berlaku antara mereka apabila mangsa didakwa tidak menghormati pelajar senior berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati punca perselisihan faham berlaku apabila mangsa dikatakan tidak menghormati pelajar senior.

"Kesemua suspek berkenaan sudah dibebaskan hari ini dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan daripada mereka selepas direman dua hari sejak semalam," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pada Rabu Sinar Harian melaporkan, seramai 10 pelajar lelaki di sebuah kolej vokasional berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun ditahan kerana disyaki memukul pelajar junior semasa mangsa berada di surau asrama.

Ibu mangsa dimaklumkan oleh warden asrama bahawa anaknya tidak sihat dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan sebelum mangsa memberitahu ibunya bahawa dia sebenarnya cedera akibat dipukul pada Selasa.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk, pinggang dan mengalami kesakitan di seluruh badan akibat dipukul.

Sehubungan itu, Ashari berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan: