KPM kaji punca pelajar tidak ambil SPM

KPM akan melaksanakan kajian terperinci mengenai punca sebilangan pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lepas. - Gambar hiasan
KPM akan melaksanakan kajian terperinci mengenai punca sebilangan pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan kajian terperinci mengenai punca sebilangan pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, hasil kajian itu akan dikongsikan termasuk langkah intervensi untuk memastikan masalah ketidakhadiran calon SPM pada peperiksaan akan datang dapat diatasi.

"Ini masalah lama sebenarnya, cuma kali ini kita jadikan ia sebagai satu langkah untuk pastikan calon-calon ini hadir dan mengambil peperiksaan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen Islam dan Melayu: Karamah Insaniah Teras Pembentukan Jati Diri Umat di sini hari ini.

Pada 11 Jun, Fadhlina dilaporkan berkata, seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon SPM 2022 tidak hadir menduduki peperiksaan.

Berdasarkan analisis KPM, calon tidak hadir bagi SPM 2022 bertambah berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10,681 calon daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar.

Mengenai isu lepasan SPM tidak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, Fadhlina berkata, perkara itu sedang ditekuni pihaknya dengan beberapa kementerian berkaitan.

"Hal ini memerlukan sinergi dengan kementerian lain dan harus disambut pihak industri untuk memastikan mereka mempunyai hala tuju dalam pendidikan termasuk dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya.

Berkenaan sesetengah golongan guru yang memilih untuk bersara awal, katanya, pihak KPM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk melatih lebih ramai guru bagi memastikan unjuran bilangan pendidik tercapai.

"Kita juga membuat unjuran ini bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk memastikan kekurangan guru dapat diatasi dalam tempoh yang singkat,” katanya. - Bernama