Dua keluarga bergaduh, tak puas hati punca kemalangan

Tangkap layar video tular pergaduhan melibatkan beberapa individu di tepi jalan selepas berlaku kemalangan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Tangkap layar video tular pergaduhan melibatkan beberapa individu di tepi jalan selepas berlaku kemalangan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Akibat tidak berpuas hati dengan punca kemalangan, enam individu ditahan polis selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Tanjung Bungah pada 8 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 28 hingga 59 tahun itu bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan jalan raya dan pergaduhan tersebut.

"Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan polis daripada kedua-dua pihak. Kesemua tangkapan dibuat selepas keluarga kedua-dua pihak yang terlibat dengan kemalangan datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk membuat laporan.

"Siasatan masih dijalankan yang mana, kes kemalangan maut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kes pergaduhan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas mengenai kemalangan tersebut, Soffian berkata, seorang penunggang motosikal wanita maut selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah di sini pada jam 11.20 pagi Isnin lalu.

Menurutnya, mangsa yang merupakan suri rumah berusia 59 tahun cedera parah di kepala maut di lokasi kejadian selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis BMW.

"Kereta tersebut dipandu lelaki berusia 28 tahun yang juga pekerja swasta. Pemandu kereta warga tempatan tidak mengalami kecederaan.

"Susulan daripada kemalangan itu, berlaku pergaduhan antara keluarga mangsa dengan keluarga pemandu kereta yang mempertikaikan tentang kemalangan tersebut," katanya.

Beliau menambah, orang ramai dinasihati agar tidak menularkan rakaman video berhubung kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 24 saat di Facebook mengenai kemalangan tersebut selain pergaduhan yang melibatkan beberapa individu di tepi jalan.