Siti Zauyah mengaku orang lain sediakan kenyataan saksinya

Siti Zauyah ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Bernama
Siti Zauyah ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan membuat kejutan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, apabila menyatakan tidak menyediakan kenyataan saksi bertulisnya.

Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata demikian ketika sesi soal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding kes rasuah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya, saksi berusia 63 tahun itu berkata, keterangan bertulis itu dirangka oleh dua pegawai bawahan, dikenali sebagai Afidah dan Azmida.

Beliau berkata, keterangan itu dirangka tanpa kehadirannya dan hanya ditunjukkan pada saat-saat akhir untuk ditandatangani.

“Saya tidak tahu ketepatan butiran dalam kenyataan bertulis itu sebab tidak diberi masa yang cukup untuk menelitinya terlebih dahulu.

“Ketika ia dirangka, saya tidak berada di depan mereka, saya cuma diberikan dokumen itu,” katanya.

Saksi itu juga berkata ya, apabila Muhammad Shafee mencadangkan bahawa beliau tidak tahu sama ada butiran lengkap dokumen itu adalah benar atau tidak.

Siti Zauyah yang ketika kejadian menjawat bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan turut disoal mengenai tiga dokumen berkaitan 1MDB yang dikemukakan di mahkamah melalui e-mel sebagai mana terkandung dalam penyata saksinya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee: Bolehkah datuk rujuk kenyataan saksi datuk, setebal 40 muka surat yang telah dikemukakan kepada mahkamah. Saya cadangkan, datuk tidak tahu sama ada ia benar atau tidak?

Siti Zauyah: Ya.

Muhammad Shafee: Yang Arif, bolehkah prosiding ini ditangguhkan, sementara saya berbincang dengan anak guam mengenai perkembangan terkini ini.

Ini kerana peguam itu berkata, saksi ke-26 pendakwaan ini tidak memberi manfaat kerana berulang kali menjawab ‘tidak tahu’ dan ‘tidak pasti’.

Beliau berkata, Siti Zauyah juga sering mengelak daripada menjawab soalan yang dikemukakan terutama berhubung tiga dokumen berkaitan 1MDB.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung jam 2 petang ini.