JAIS siasat ajaran sesat Hadi Minallah dikesan di Selangor

Mohd. Zawawi Ahmad Mughni
Mohd. Zawawi Ahmad Mughni
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memperincikan laporan berkaitan ajaran sesat Hadi Minallah yang didakwa turut dikesan di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan dikeluarkan mengenai kewujudan ajaran sesat berkenaan di negeri ini.

Beliau berkata, siasatan JAIS yang dijalankan akan meliputi sama ada ia melibatkan warga tempatan atau sebaliknya.

"Kita setakat ini masih menunggu siasatan dan laporan penuh berkenaan. Kenyataan lanjut akan dikeluarkan JAIS dalam tempoh terdekat," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Kesedaran Penipuan Dalam Talian dan Pelancaran Aplikasi Whoscall di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Pada Rabu, media melaporkan JAIS akan membentangkan laporan terkini ajaran Hadi Minallah dalam mesyuarat Jawatan Kuasa Pengawalan Akidah pada Khamis.

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary pada Selasa mendedahkan bahawa penyebaran ajaran sesat itu turut dikesan di Selangor, Johor dan Kedah.

Ahmad Marzuk dilaporkan berkata, semua keputusan seperti tindakan undang-undang atau menfatwa diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya yang sudah padat dan terhad, Mohd Zawawi berkata, beliau akan meneliti perkara berkenaan secara terperinci.

"Saya difahamkan pihak berkuasa sudah meninjau kawasan tanah perkuburan itu baru-baru ini.

"Namun, saya akan mendapatkan maklumat menyeluruh mengenai perkara itu untuk tindakan lanjut," katanya.

Pada Khamis, media melaporkan ribuan penduduk Bestari Jaya menggesa kerajaan Selangor segera menyelesaikan isu itu bagi mengelak sebarang kesulitan urusan pengebumian jenazah.

Tanah baharu amat diperlukan kerana perkuburan itu kini boleh menampung pengebumian hanya enam jenazah dan hampir penuh sehingga menghampiri pintu pagar utama kawasan berkenaan.