Ajaran Hadi Minallah: Segera muzakarah fatwa peringkat negeri

Ahmad Marzuk ketika sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penghayatan Nilai-Nilai Islam, penjawat awam peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Azim, Bukit Palah pada Selasa.
Ahmad Marzuk ketika sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penghayatan Nilai-Nilai Islam, penjawat awam peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Azim, Bukit Palah pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Majlis Agama Islam Negeri digesa mengadakan muzakarah bagi merangka kerjasama dan membentuk fatwa dalam membendung penyebaran ajaran sesat di setiap negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara ini penting dilaksanakan dalam merumuskan kesepakatan memandangkan keputusan menfatwakan sebarang tindakan berkait ajaran sesat seperti ajaran Hadi Minallah terletak di bawah bidang kuasa agama negeri masing-masing.

Menurut Ahmad Marzuk, sehingga kini kementeriannya telah mengenal pasti gerakan ajaran terbabit malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad juga mengeluarkan kenyataan berkaitan isu tersebut sebelum ini.

Katanya, dalam tempoh pengawasan itu pihaknya akan menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengekang penularan ajaran sesat terbabit.

"Soal menfatwakan atau lebih lanjut, kita serah kepada bidang agama negeri masing-masing terutama negeri yang terdapat gerakan ajaran sesat.

"Perlunya lebih proaktif mengadakan muzakarah fatwa, jadi tindakan boleh diambil kalau dah bentuk fatwa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Seminar Penghayatan Nilai-Nilai Islam, Penjawat Awam peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini pada Selasa.

Jelas beliau, tiga negeri telah dikenal pasti terdapat gerakan ajaran Hadi Minallah iaitu di Selangor, Kedah dan Johor dan sekarang dalam tindakan penyiasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan itu jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

"Kerajaan tidak memandang ringan dan sentiasa mengambil langkah segera bagi mengekang penularan ajaran berkenaan," kata Ahmad Marzuk.

Baru-baru ini Idris memaklumkan kerajaan tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap pengasas mahu pun gerakan ajaran sesat di negara ini tanpa kebenaran Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu.

Menurut Idris, pihaknya perlu menunggu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa terhadap ajaran Hadi Minallah sebelum tindakan dapat diambil.