Kadar penyertaan tenaga buruh wanita masih rendah: PM

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kiri) berangkat tiba pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60 di Dewan Perdana Felda, pada Khamis. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Seri Nancy Shukri (dua, kanan). - Foto Bernama
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kiri) berangkat tiba pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60 di Dewan Perdana Felda, pada Khamis. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Seri Nancy Shukri (dua, kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penglibatan golongan wanita bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh masih rendah berbanding negara Asia Tenggara lain.

Beliau berkata, negara kini berdepan cabaran utama apabila populasi perempuan pada 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita tahun lepas hanya 55.5 peratus.

"Kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura sebanyak 69.7 peratus dan Thailand sebanyak 66.8 peratus.

"Kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi tetapi bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh, penglibatan wanita adalah rendah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan Ke-60 di Dewan Perdana Felda di sini, pada Khamis.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis sambutan tersebut.

Ismail Sabri berkata, sehubungan itu, kerajaan pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) bersetuju mewujudkan Gender Focal Point dan Gender Focal Team di setiap kementerian dan agensi sebagai usaha mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan.

Perdana Menteri berkata, bagi tujuan mengupayakan wanita, ia perlu bermula daripada keperluan asas golongan wanita iaitu kemampuan untuk menjana pendapatan bagi kelangsungan hidup mereka dan keluarga.

Beliau berkata, beberapa inisiatif telah dilaksanakan antaranya program TekunNita di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional yang melibatkan peruntukan sebanyak RM19.9 juta bagi 2022 dan sehingga kini sebanyak 1,264 usahawan wanita menerima manfaat.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga 31 Julai, 265 peserta mendapat pembiayaan di bawah program DanaNita dengan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Program MyKasih Kapital pula dilaksanakan bagi memberi bantuan asas modal perniagaan secara one-off (sekali beri) sebanyak RM500 bagi menggalakkan wanita berniaga," katanya dan menambah program itu memberi manfaat kepada 10,496 wanita dalam kalangan B40 sejak dilaksanakan pada April 2021 hingga Julai 2022.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga memperkenalkan Program Wanita Bangkit@KPWKM melibatkan kerjasama strategik dengan lebih 50 agensi kerajaan dan swasta menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan aktiviti keusahawanan yang memberi manfaat kepada lebih 40,000 wanita di seluruh negara

Mengenai penglibatan wanita dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC), perdana menteri mengarahkan agar penyertaan golongan itu di syarikat-syarikat berkenaan sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai Ahli Lembaga Pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada 2023.

"Alhamdullilah, sehingga kini, sebanyak 210 daripada 900 syarikat sendirian berhad mempunyai lebih 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah syarikat," katanya. - Bernama