KPM sedia platform aduan buli

A
A
A

Radzi (dua, kiri) dan Hamzah (dua, kanan) melancarkan portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) pada Khamis.
Radzi (dua, kiri) dan Hamzah (dua, kanan) melancarkan portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) pada Khamis.



PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan platform khas bagi membolehkan mangsa buli atau penjaga membuat aduan terus kepada pihak kementerian.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha kementerian agar aduan yang disalurkan dapat diberi tindakan segera oleh pihaknya.

"Ibu bapa atau murid yang menjadi mangsa buli boleh terus membuat aduan menerusi laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli untuk tindakan sewajarnya diambil," jelasnya.

Beliau berkata, perkhidmatan e-mail dan talian telefon itu boleh dihubungi 24 jam termasuk melalui aplikasi WhatsApp (pada talian 014-8009325) memberi pilihan kepada ibu bapa yang kurang selesa untuk membuat laporan di dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

"E-mail ini akan terus sampai ke bahagian berkaitan untuk diambil tindakan begitu juga dengan nombor telefon. Sekiranya mempunyai kekangan untuk panggilan, boleh membuat aduan di aplikasi WhatsApp," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan program Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat dan pelancaran portal buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1), di sini pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mohd Radzi berkata, setiap aduan yang diterima akan terus disalurkan ke sektor berkaitan di peringkat negeri.

"Sekiranya memerlukan kerjasama polis dalam keadaan tertentu, kita akan serahkannya kepada polis. Semua ini akan direkodkan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga perlu memastikan setiap aduan yang dibuat benar-benar berlaku.

"Ini bagi memastikan ia tidak memberi tekanan kepada sistem untuk menganalisis sesuatu kes yang berlaku," tambahnya.


Radzi (kiri) bersama Hamzah selepas melancarkan portal aduan buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) pada Khamis.
Radzi (kiri) bersama Hamzah selepas melancarkan portal aduan buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) pada Khamis.



Menurutnya, maklumat yang dimaklumkan pengadu menerusi e-mail akan dirahsiakan.

"Apa yang penting, lapor maklumat tepat dan terperinci agar kementerian boleh mengambil tindakan segera," katanya.

Ujarnya, ibu bapa atau penjaga sekiranya mahu mendapatkan perkembangan lanjut aduan yang telah dibuat boleh berhubung dengan sistem sedia ada iaitu e-mail dan panggilan telefon.

"Setiap aduan akan mempunyai sistem pelaporan bagi memastikan kementerian tidak terlepas pandang," tegasnya.

Kesalahan berat

Mohd Radzi berkata, KPM tidak akan berkompromi dengan salah laku isu buli kerana ia merupakan kesalahan berat.

"Berdasarkan statistik dari Januari sehingga Julai tahun ini sebanyak 122 kes buli telah disabitkan dengan kesalahan manakala pada tahun 2021 adalah 50 kes dan 122 kes disabitkan sepanjang tahun 2020," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, terdapat peningkatan kes buli berlaku di kalangan murid pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

"Walaupun beberapa kesalahan lain menurun, tetapi kes buli masih lagi tinggi dan menunjukkan bahawa generasi baharu kita beranggapan buli itu perkara biasa sedangkan mangsa terus berdepan dengan masalah," katanya.

Tambahnya, KDN telah melantik pegawai polis untuk memberi penerangan kepada murid dalam program-program yang diadakan di sekolah.

"Saya setuju agar PDRM memberi penekanan terhadap isu ini," jelasnya.

Portal aduan buli yang sudah boleh diakses itu meletakkan pilihan cara aduan disalurkan di sebelah atas kanan laman sesawang terbabit termasuk capaian ke SISPAA KPM.

Selain membuat aduan di laman sesawang, kes buli juga boleh dilaporkan menerusi talian 03-88849325 atau e-mail: adubuli@moe.gov.my atau WhatsApp: +6014-8009325

INFO:

- Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat merupakan program kolaboratif antara KPM dan Kementerian Dalam Negeri.

- Ia sebagai usaha menangani masalah disiplin, salah laku murid serta mengenal pasti murid yang mencuba bahan terlarang.

- Penglibatan PDRM dengan sekolah melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan melaksanakan ujian saringan urin dan program penyalahgunaan dadah.

- Portal aduan buli menerusi laman sesawang diperkenalkan bagi memastikan setiap aduan dapat diberikan tindakan segera.

Reaksi

NUR HAZIMAH
NUR HAZIMAH



"Buli dan dadah bukan jenayah ringan. Ia perlu dibendung di peringkat awal agar tidak berleluasa," Ketua Pengawas SMKPP 14(1), Nur Hazimah Habib Hafiz.

SURIYANI
SURIYANI



"Pada saya ini merupakan program yang bagus kerana murid akan sedar bahawa buli bukan hanya melalui perbuatan tetapi juga percakapan," Pengetua Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Suriyani Ab Ghani.