KPM guna polis Bukit Aman jika kes buli di sekolah serius

Hui Ying (berdiri, tiga dari kiri) beraamah mesra dengan tetamu yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Tanjung pada Sabtu.
Hui Ying (berdiri, tiga dari kiri) beraamah mesra dengan tetamu yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Tanjung pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meminta bantuan daripada polis Bukit Aman untuk menjalankan siasatan di sekolah seluruh negara yang didapati berlaku unsur gengsterisme dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, perkara itu akan dilaksanakan sekiranya kes buli di dalam sekolah semakin serius dan tidak terkawal.

"Sebenarnya kes buli di dalam sekolah memang ada, sama ada serius atau tidak. Bagaimanapun, dengan adanya media sosial, maka ia akan tersebar dengan lebih cepat namun masalah ini perlu dilihat dengan fakta.

"Bagi pihak kementerian, sekiranya budaya gengsterisme ini semakin serius dan sukar dibendung, kemungkinan kita akan meminta bantuan daripada Bukit Aman untuk masuk ke sekolah.

"Selain itu, kementerian juga akan memohon pegawai perhubungan polis supaya lebih kerap memantau dan melakukan rondaan di sekolah yang mempunyai rekod kes buli agar isu ini dapat dibendung," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Tanjong di sini pada Sabtu.

Hui Ying berkata, KPM dan sekolah berperanan untuk memastikan setiap sekolah adalah tempat yang selamat untuk pelajar menimba ilmu.

"Bukan hanya sekolah sahaja yang perlu pastikan sekolah selamat, pihak polis juga diminta untuk membantu bagi memastikan sekolah dan kawasannya selamat.

"Saya juga memohon ibu bapa agar mengambil tahu aktiviti anak-anak mereka di luar sekolah. Dalam hal ini, semua pihak ada tanggungjawab masing-masing termasuk ibu bapa. KPM juga berharap agar sebarang anasir-anasir tidak elok, jangan dibawa masuk ke sekolah," katanya.

Mengulas mengenai kes buli melibatkan pelajar di sebuah sekolah di Bagan Jaya, Butterworth, Hui Ying berkata, KPM tidak akan berkompromi dengan kes buli di sekolah dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku selepas siasatan selesai.

Katanya, beliau tidak akan mengulas lanjut berhubung kes tersebut kerana ia kini dalam siasatan polis.

"Saya tidak ada butiran lanjut mengenai kes tersebut, oleh itu saya tidak akan mengulas lanjut berhubung kes ini. Tambahan pula, kes sudah dalam siasatan polis. Biar polis jalankan siasatan.

"Dari pihak sekolah, sekolah akan memberi bimbingan kaunseling kepada mangsa dan tindakan disiplin kepada pelaku. Bagaimanapun, semua tindakan ini perlu tunggu polis siasat dahulu. Kita akan beri kerjasama penuh kepada polis," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial satu klip video berdurasi 34 saat berhubung kes buli membabitkan pelajar di sebuah sekolah di Butterworth.