KPM tubuh pasukan khas suntik semangat belajar sains, teknologi

Anwar (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023 kepada Datuk Seri Panglima Dr Nuinda Alias pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023, di MITC, Ayer Keroh pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023 kepada Datuk Seri Panglima Dr Nuinda Alias pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023, di MITC, Ayer Keroh pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan pasukan khas dalam mencari jalan untuk menarik minat serta memperkasakan bidang sains dan teknologi dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, menerusi kajian yang dijalankan mendapati minat pelajar dalam bidang berkaitan menunjukkan penurunan terutama pelajar di kawasan luar bandar.

Tambah Anwar, ini merupakan cabaran negara dalam menuju ke arah dunia teknologi termasuk dalam pelaburan automotif, teknologi hijau, kereta elektrik yang sememangnya memerlukan ramai generasi muda dalam bidang tersebut.

"Apa kelemahan dan kekurangan sekarang, dalam laporan minat anak-anak dalam bidang sains dan teknologi kurang.

"Saya telah minta Menteri Pendidikan adakan pasukan khas untuk mencari jalan menyuntik semula semangat anak-anak supaya didik sebagai manusia tetapi juga diberikan bimbingan tentang cabaran dan disiplin dalam bidang teknologi baharu dan sains," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Tambah beliau, berharap warga pendidik meneruskan lonjakan semangat bagi mengangkat negara dengan kekuatan bahasa, sastera, budaya, nilai, akhlak dan teknologi.

Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan kali ke-52 bertemakan 'Guru Insani Pemangkin Generasi Madani' turut menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023 dan Tokoh Guru Kebangsaan 2023.